MahkamahNasional

Jabatan Peguam Negara badan bebas, tak perlu teliti semula semua kes

Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan tidak mempunyai sebab atau alasan munasabah untuk meneliti semula semua kes yang sudah dituduh di mahkamah.

Menjawab desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya melibatkan empat pertuduhan predikat bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, keputusan itu dibuat hanya berdasarkan ruang lingkup permohonan yang difailkan pemohon.

“Rentetan itu, Notis Rayuan telah difailkan oleh pihak pendakwaan untuk mencabar keesahan keputusan tersebut.

“Manakala tiga pertuduhan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 masih kekal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Hamzah menggesa Idrus mengkaji semula semua pertuduhan dihadapi pemimpin Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) susulan pembebasan Muhyiddin oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hamzah yang juga merupakan Setiausaha Agung Bersatu berkata, Idrus perlu mengkaji kemungkinan menarik balik pertuduhan dikenakan terhadap pemimpin pembangkang lain kerana ia mungkin kes “pendakwaan terpilih”.

Sementara itu, Idrus berkata, tidak terdapat sebarang campur tangan politik atau tekanan untuk memulakan apa-apa pendakwaan.

Katanya, jabatan itu sentiasa bertindak secara bebas dan profesional, mengikut tatacara ditetapkan dalam memulakan pertuduhan terhadap mana-mana individu.

“Jabatan Peguam Negara memandang serius kenyataan yang berkecenderungan menjejaskan kredibiliti jabatan ini dan menggesa semua pihak berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan yang mencadangkan atau membayangkan bahawa integriti dan kebebasan jabatan ini telah dikompromi oleh campur tangan politik atau pengaruh tidak wajar,” katanya.

Menurut beliau, setiap keputusan untuk pendakwaan dibuat setelah meneliti dan menimbangkan sepenuhnya semua keterangan yang dibentangkan oleh agensi penguatkuasa menurut undang-undang yang berkaitan. – SM

BACA Peguam Negara rayu keputusan Mahkamah Tinggi bebaskan Muhyiddin

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button