Nasional

Kerajaan Negeri diberi kelonggaran tambahan Pemberian MARRIS RM5 bilion

KERAJAAN Negeri diberi kelonggaran tambahan dalam penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian MARRIS) sebanyak RM5 bilion untuk tahun 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ia bagi membiayai kerja-kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian serta pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang, pembentung dan cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir termasuk di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kerajaan Persekutuan amat prihatin ke atas situasi yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri pasca banjir Monsun Timur Laut yang lepas.

“Justeru Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengkaji semula pemberian MARRIS supaya peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri melalui skop perbelanjaan MARRIS yang diperluaskan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dihadiri oleh Menteri Besar serta wakil Ketua Menteri hari ini.

Ismail Sabri berkata,  peruntukan itu untuk merangkumi penyelenggaraan jalan seperti yang di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan untuk meluaskan skop penggunaan Pemberian MARRIS.

Katanya lagi, kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan pindahan fiskal ekologi (Ecological Fiscal Transfer – EFT) daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.

Beliau berkata, insentif kewangan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri ini adalah bagi meningkatkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan dan marin, Kerajaan negeri akan diberi insentif kewangan.

Tambah beliau, caruman sebanyak RM330 juta dalam Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) turut dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.

“Satu jawatankuasa akan ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membuat semakan semual formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan bagi Pemberian TAHAP.

“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing,” ujar beliau.

Langkah yang diambil ini, kata Ismail Sabri, adalah bagi memperkukuhkan lagi momentum pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan Kerajaan Negeri sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.

“Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada Kerajaan Negeri pada setiap tahun,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata, oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan berharap pemberian- pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri terutamanya dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terpelihara. – SM

 

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button