
Taman Bunga LEGO Pertama Dunia Kini di LEGOLAND Malaysia
LEGOLAND® Malaysia Resort terus mencuri tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa apabila memperkenalkan Taman Bunga LEGO® pertama di dunia yang kini dibuka secara rasmi di kawasan tarikan popular mereka, MINILAND.
Taman seluas 4,100 kaki persegi itu dihiasi dengan lebih 792,000 bongkah LEGO yang membentuk 58 jenis bunga dari koleksi LEGO Botanicals, termasuk bunga matahari, orkid, sakura, pokok bonsai dan jambangan bunga liar. Setiap satu rekaan dihasilkan dengan perincian yang menakjubkan, menjadikannya satu gabungan memukau antara seni bina LEGO dan elemen semula jadi.
Antara tarikan utama di taman ini ialah model gergasi bunga Rafflesia – bunga terbesar dan paling jarang ditemui di Asia Tenggara – yang menjadi simbolik kepada flora unik rantau ini.
Taman ini juga menggabungkan tumbuhan sebenar, kehijauan tiruan serta struktur LEGO dalam satu landskap yang imersif. Pengunjung boleh menemui pelbagai fauna LEGO tersembunyi seperti rama-rama, burung, katak dan ikan, selain elemen air yang dibina sepenuhnya menggunakan bongkah LEGO.
Bukan itu sahaja, taman ini turut menyediakan pelbagai elemen interaktif seperti Feature Wall berwarna-warni, floral dome yang menyeronokkan dan bengkel khas Master Model Builder di mana pengunjung berpeluang belajar cara menggunakan semula bongkah LEGO lama untuk mencipta bunga baharu.
Lebih menarik, pemegang Pas Tahunan LEGOLAND turut diberikan akses eksklusif lebih awal ke taman ini termasuk peluang menyertai lawatan istimewa dan bengkel binaan bunga.
Taman Bunga LEGO ini bukan sekadar tarikan visual, tetapi juga menawarkan pengalaman pembelajaran dan kreativiti yang sesuai untuk semua peringkat umur, terutamanya kanak-kanak dan peminat LEGO sejati.
Untuk maklumat lanjut dan merancang lawatan anda, layari laman rasmi LEGOLAND Malaysia.