NasionalRencah Hidup

Bil elektrik tertunggak enam bulan: Tiada pemotongan-Shamsul Nasarah

MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah memberi jaminan, tiada pemotongan bekalan elektrik tertunggak enam bulan di premis pengguna domestik di seluruh negara.

Beliau berkata, premis pengguna domestik yang mempunyai tunggakan kurang daripada enam bulan tidak akan dipotong sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 31 Mac 2021.

“Inisiatif ini adalah hasil kerjasama dan persetujuan dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada 6.94 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 500,000 pengguna domestik di Sabah yang layak,” katanya.

Beliau berkata, kategori pengguna domestic akan diberi kemudahan untuk membuat pembayaran secara ansuran selama enam bulan mulai 1 Januari sehingga 30 Jun 2021.

Tambah beliau, pengguna yang mempunyai tunggakan melebihi enam bulan pula boleh berunding dengan pihak TNB dan SESB untuk membuat pembayaran secara ansuran bagi mengelakkan pemotongan bekalan elektrik.

“Kita faham kesan kepada TNB tetapi kita juga faham apa yang sedang dihadapi rakyat. Maknanya kita mengambil jalan tengah untuk menjaga kewangan di TNB dan melihat keperluan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan meminta pihak TNB untuk mengaktifkan kaunter-kaunter di kedai tenaga bagi membolehkan rakyat berurusan dengan mudah.

Shamsul Anuar berkata, ia merupakan inisiatif tambahan untuk rakyat yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan kesan daripada pandemik Covid-19. – SM

 

(Visited 254 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button