
Talak Sudah Dilafaz, Tapi Masih Bersama? Netizen Bingung Lihat Aiman Temani Siti
KEMELUT rumah tangga usahawan dan pempengaruh media sosial, Siti Jamumall kembali mencuri perhatian selepas tular satu video yang memaparkan beliau ditemani ibunya ke sebuah klinik. Namun, yang paling mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen adalah kemunculan kelibat bekas suaminya, Aiman, dalam rakaman tersebut.
Aiman sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila melafazkan talak terhadap Siti secara terbuka ketika sesi siaran langsung di TikTok, yang dipercayai berlaku hanya beberapa minggu selepas mereka berdua mengambil keputusan untuk rujuk semula. Ketika itu, Siti juga difahamkan sedang hamil lima bulan.
Kemunculan Aiman di klinik bersama Siti dan ibunya menimbulkan pelbagai andaian. Ada yang menyifatkan kehadiran Aiman sebagai tanda masih mengambil berat terhadap bekas isterinya, manakala sebilangan netizen lain pula skeptikal dan menganggap ia sebagai ‘babak baru’ dalam siri drama kehidupan pasangan tersebut.
“Dah macam drama bersiri, susah nak bezakan mana realiti, mana content,” komen seorang pengguna media sosial yang mengundang pelbagai reaksi daripada warganet lain.
Ada juga yang menyuarakan rasa simpati terhadap Siti, terutama memandangkan beliau sedang melalui kehamilan dan dalam masa sama diuji dengan pergolakan rumah tangga yang penuh liku. Namun begitu, tidak kurang yang mempertikai tindakan pasangan ini yang sering menjadikan isu peribadi sebagai tontonan umum di media sosial.
Apapun niat di sebalik kemunculan Aiman dalam video tersebut, ramai berharap agar Siti terus tabah dan bijak menguruskan kehidupannya demi kebaikan diri dan bayi yang bakal dilahirkan.