Nasional

Taktik menyamar JPJ kesan pesalah jalan raya

TAKTIK  penyamaran sebagai penumpang bas ekspres akan diteruskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sempena Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2022 bermula semalam dan 8 Julai serta 12 dan 13 Julai bagi memantau situasi keselamatan sempena musim perayaan ini.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata, taktik itu dilihat sangat berkesan bagi memastikan pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya dan mengelak daripada berlakunya kemalangan yang mungkin melibatkan banyak nyawa hilang.

Taktik penyamaran itu juga katanya, turut digunakan untuk mengesan pemandu dan penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, objektif utama OPS HRAA 2022 dibuat bagi memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas dan keselesaan penguna jalan raya sepanjang orang ramai mula balik ke kampung menyambut Hari Raya Aidiladha nanti.

“Tradisi balik kampung sempena musim perayaan ini sebenarnya menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya dan secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya.

“Sepanjang musim perayaan ini, JPJ negeri akan memastikan pengurusan aktiviti penguatkuasaan HRAA 2022 dapat dilaksanakan dengan lebih efektif bagi mencapai sasaran pengurangan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Ops HRAA 2022 di Terminal Bas Melaka Sentral di sini semalam.

Muhammad Firdaus berkata, sepanjang HRAA 2022 ini, seramai 40 anggota penguatkuasa JPJ akan bergerak dan memantau di seluruh titik panas di seluruh negeri ini dalam usaha memastikan pemandu dan penunggang motosikal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, antara titik panas yang menjadi tumpuan ialah di kawasan bandar dan lebuh raya seperti Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

Hasil pemeriksaan beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 25 notis saman tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (16), tiada perlindungan insuran (16), lesen memandu tamat tempoh (4) dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu (2). – SM Melaka

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button