HiburanMahkamah

Awie diperintah bayar RM80,000 kepada bekas isteri, Rozana Misbun

DATUK Ahmad Azhar Othman atau lebih popular dengan nama pentasnya, Awie diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya membayar gantirugi berjumlah RM80,000 atas tiga pertuduhan mendatangkan kecederahan kepada bekas isterinya, Rozana Misbun, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim yang bersidang dipengerusikan Nor Bee Ariffin berkata, mereka berpuas hati Mahkamah Sesyen tidak salah dari segi undang-undang untuk membenarkan tuntutan yang dibuat oleh Rozana.

Beliau berkata, ganti rugi sebanyak RM50,000 adalah bagi penghinaan dan tekanan serta RM30,000 sebagai ganti rugi am kesakitan dan penderitaan yang adil dan munasabah.

Nor Bee yang bersidang bersama S Nantha Balan dan Ghazali Cha berkata, Mahkamah Tinggi juga tidak terkhilaf dalam mencapai keputusan untuk menegaskan semula keputusan Mahkamah Sesyen itu.

“Oleh itu, tiada merit dalam rayuan itu,” kata Nor Bee ketika menolak rayuan akhir Awie mengenai liabiliti dan ganti rugi.

GAMBAR OH BULAN – GOOGLE

Panel hakim juga mengarahkan perayu membayar kos sebanyak RM15,000 bagi tuntutan guaman Rozana yang diwakili oleh Azlan Abd Roni, Nasyrah Ezzan Ali dan Ahmad Fakhri Abu Samah.

Awie didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Rozana di rumah mereka di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang, pada pukul 1.30 tengah hari, 2 Jun 2014.

Bagaimanapun, Mahkamah Majistret Ampang membebaskannya selepas penyanyi dan juga pelakon itu bersetuju membayar pampasan sebanyak RM10,000 kepada Rozana.

Vokalis kumpulan Wings itu juga memohon maaf secara terbuka di mahkamah kepada Rozana pada Mei 2016. Dia juga didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Rozana yang juga adik kepada aktres Haliza Misbun, di kaunter Perbadanan Nasional Bhd (PNB) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3 petang pada 2 Jun 2014.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM2,000 selepas Awie mengaku bersalah. Bagaimanapun, Rozana memfailkan saman sivil terhadap Awie kerana menyerangnya di rumah mereka, kaunter PNB dan di tempat letak kereta selepas meninggalkan premis PNB.

Awie yang diwakili Hazman Harun memfailkan tuntutan balas terhadap Rozana kerana pecah amanah dengan mengatakan dia didakwa membelanjakan wang untuk pendidikan anak-anak mereka dengan pakaian, beg dan kasut berjenama.

Bagaimanapun, tuntutan sebelum ini ditolak oleh Mahkamah Sesyen.

Tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Wong Kien Kheong berkata, keganasan rumah tangga tidak boleh dibenarkan dalam apa jua keadaan dan mahkamah harus memastikan bahawa mangsa diberi pampasan dengan cara yang adil dan munasabah.

Rozana dimasukkan ke hospital dan laporan X-ray menunjukkan dia mengalami patah tulang rusuk akibat serangan itu.

Hazman dalam kenyataan hari ini berkata, serangan yang berlaku di rumah pasangan itu sepatutnya dikecualikan kerana Awie telah membayar Rozana sebanyak RM10,000 manakala dakwaan berlaku serangan di tempat letak kereta tidak dapat dibuktikan.

“Anak guam saya bersedia membayar responden (Rozana) sebanyak RM10,000 sebagai ganti rugi atas serangan yang berlaku di kaunter PNB,” katanya.

Azlan mengemukakan bukti kepada hakim Mahkamah Sesyen bahawa Rozana sebagai saksi yang boleh dipercayai apabila dia memberi keterangan.

Peguam itu berkata, Awie hanya terlepas daripada hukuman mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan pertama apabila dia bersetuju membayar RM10,000 kepada Rozana.

“Bagaimanapun beliau (Awie) tidak boleh menghalang Rozana daripada memfailkan tuntutan sivil kerana kecederaan dan penghinaan,” katanya. – FMT – SM

(Visited 1,543 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button