Nasional

Ops Tiris: Premis disyaki jadi transit minyak diesel subsidi diserbu KPDN

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti  penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi OPS TIRIS dalam satu serbuan yang dilakukan
ke atas sebuah premis tanpa nama di Klang, Selangor yang disyaki dijadikan stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi pada 6 Disember 2023.

Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Selangor bermula kira-kira pukul 2.30 pagi itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN selama dua minggu sebelum serbuan.

Hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi sindiket ini adalah menggunakan sebuah lori bonded yang telah diubahsuai dengan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Containers (IBC) bagi membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Lembah Klang.

Minyak diesel itu kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit untuk dipindahkan ke sebuah lori tangki yang lain sebelum dijual di pasaran.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 12,100 liter  serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

Dua buah lori, pam bermotor, paip penyambung, minyak diesel, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM218,015.00.

Empat orang lelaki, dua daripadanya warga asing yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit serta pemilik lori berkenaan, berumur lingkungan di antara 25 hingga 30 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak
diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS bermula 1 Mac 2023 sehingga 6 Disember 2023, sebanyak 14,529 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh Negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 767 kes telah dihasilkan yang melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM88.88 juta.

Sebanyak 638 tangkapan juga telah dilakukan dalam tempoh yang sama melibatkan 531 individu merupakan warganegara, 105 individu merupakan warga asing manakala dua individu adalah pemastautin tetap.

KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan
pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi. – SM

(Visited 39 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button