Berita

Negara rugi pegawai PALAPES tidak terus menabur bakti melalui Askar Wataniah

Islamabad, Pakistan

RAKYAT perlu sedar bahawa negara Malaysia amat ‘rugi’ apabila para Pegawai Tauliah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Angkatan Tentera Malaysia yang kita lahirkan dari universiti-universiti awam (UA) selama ini tidak terus menabur bakti dalam Askar Wataniah selepas ditauliahkan.

Negara akan kehilangan ramai individu yang mampu bekerja dalam gaya hidup berpasukan. Gaya hidup tentera yang diperkenalkan dapat melatih seseorang individu itu mengamalkan sikap berpasukan dan seterusnya dapat diterapkan dalam alam pekerjaan.

Negara juga akan rugi kerana ilmu ketenteraan yang telah dicurahkan selama ini tidak dapat dikembangkan, dikongsi dan dipraktikkan dengan sebaiknya. Hal ini merupakan kerugian besar kerana pegawai yang ditauliahkan mungkin akan lupa segala pembelajaran yang dipelajari. Setiap individu menerima ilmu ketenteraan melalui pelbagai tahap bermula di peringkat ‘Junior’, ‘Intermediate’ dan ‘Senior’ di mana setiap peringkat itu para anggota akan memperolehi ilmu ketenteraan yang berbeza.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri majlis santapan malam yang diraikan oleh Markas Besar Bahagian Latihan dan Evaluasi (Training and Evaluation) Angkatan Tentera Pakistan yang diadakan di Hotel Marriot Islamabad baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda yang mengetuai delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategi Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) 9 buah Universiti Awam (UA) Malaysia’ selama tiga hari bagi meneroka bidang pengurusan, latihan dan modul pentadbiran untuk pasukan simpanan serta sukarela di negara berkenaan itu disambut oleh Ketua Pengarah Direktorat Latihan Ketenteraan Tentera Darat Pakistan, Mejar Jeneral Saqib Mehmood Malik serta para pegawai kanan beliau.

Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat diiringi sama oleh Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Kol (K) Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Lt. Kolonel Prof Madya Dr Abdul Halim Mokhtar dari Universiti Malaya.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, TYT Ikram Mohamad Ibrahim dan Penasihat Pertahanan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, Kolonel Abu Hashim Jamaludin.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, usaha memikirkan jalan penyelesaian dan mencari kaedah yang terbaik demi memastikan anggota sukarela yang kurang aktif tidak menamatkan perkhidmatan mereka secara begitu sahaja dan sebaliknya dapat terus menabur khidmat bagi membantu angkatan tetap selaras dengan slogan angkatan sukarela benteng pertahanan kedua negara hendaklah dilaksanakan oleh semua pihak dengam secara lebih serius lagi.

(Visited 1,185 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button