Politik

Tak Lagi Terikat Etika Kerajaan, Rafizi Janji Bersuara Lantang Dalam Podcast YBM

BEKAS Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kini tampil lebih lantang apabila mengumumkan beliau tidak lagi terikat dengan etika kerajaan dan kerahsiaan setelah melepaskan jawatan Kabinetnya, berkuat kuasa 17 Jun 2025.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan beliau kini bebas bersuara dan bersedia menjawab pelbagai tohmahan serta isu yang melibatkan dirinya menerusi platform podcast “YBM (Yang Berhenti Menteri)”.

“Saya sekarang tidak lagi terikat dengan etika kerajaan dan kerahsiaan. Jadi saya bebas bersuara,” katanya.

Rafizi berkata, podcast YBM akan kembali bersiaran setiap Jumaat jam 9 malam, dengan fokus kepada pendedahan dan pencerahan berkaitan isu-isu semasa, termasuk yang menyentuh pengalaman beliau sepanjang berada dalam pentadbiran.

“Insya-Allah, saya akan imbangkan ulasan YBM – bakar pun ada, beri pencerahan pun ada. Yang penting, mestilah objektif, berfakta dan memberi pemahaman yang adil kepada semua,” katanya lagi.

Pengumuman tersebut telah mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengikut beliau yang tidak sabar menantikan pendedahan dan kupasan secara terus daripada Rafizi sendiri.

Terdahulu, Rafizi mengakui bahawa penggal pertamanya sebagai menteri bukanlah satu tugas yang mudah, lebih-lebih lagi dengan skop kementerian yang luas dan mencabar. Beliau turut tewas dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR 2025-2028 kepada Nurul Izzah Anwar, sekali gus membawa kepada keputusan perletakan jawatan.

Netizen juga mencadangkan agar Rafizi berkolaborasi bersama program popular seperti Keluar Sekejap, memandangkan gaya penyampaian dan kupasan beliau yang lantang serta berpaksikan fakta.

Sumber: Facebook Rafizi Ramli

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button