
Tak Kosong Rupanya Datuk Vida, Selain Pandai Meniaga Boleh Ubatkan Orang Rupanya
USAHAWAN kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida sekali lagi mencuri perhatian warganet apabila tampil membantu selebriti TikTok, Siti Jamumall yang dipercayai menjadi mangsa sihir.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik oleh ibu Siti, Norizan, di akaun TikTok miliknya, kelihatan Datuk Seri Vida menjalankan sesi rawatan secara spiritual terhadap anaknya dalam usaha memulihkan semangat dan kesihatan diri.
“Ada seseorang buat Siti… orang ini sangat cemburu dengan dia, dia rasa terancam,” kata Vida dalam video tersebut sambil melakukan beberapa bacaan dan sentuhan rawatan.
Rakaman berdurasi lebih satu minit itu memperlihatkan Siti berada dalam keadaan lemah dan termenung, dipercayai akibat tekanan emosi yang melampau. Ibu Siti turut meluahkan kebimbangan terhadap keadaan anaknya yang dilihat berubah sejak kebelakangan ini.
“Badan dia macam tak bermaya, lemah sangat. Makan pun tak lalu, tidur tak lena. Bila kami ikhtiar cara perubatan biasa tak jalan, kami cuba pula rawatan spiritual,” ujar Norizan.
Untuk rekod, nama Siti Jamumall mula menjadi perhatian selepas insiden penceraian secara langsung yang tular sebelum ini. Sejak itu, beliau menerima pelbagai ujian peribadi termasuk kemurungan dan serangan warganet.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi dari pengguna media sosial, ada yang bersimpati dan menyokong ikhtiar yang dilakukan, namun tidak kurang juga yang skeptikal terhadap kaedah rawatan sedemikian.
Datuk Seri Vida bagaimanapun menegaskan bahawa beliau hanya membantu atas dasar simpati dan keprihatinan sesama insan.
“Apa yang saya buat hanyalah dengan niat untuk bantu. Selebihnya kita serah pada Yang Maha Kuasa,” katanya ringkas.