Sukan

Tiada siapa yang selamat di BAM – Zii Jia

PEMAIN perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia berasa tiada mana-mana pemain, termasuknya dirinya 100 peratus selamat untuk kekal di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika prestasi tidak memuaskan.

Pemain berusia 21 tahun yang kini menduduki ranking ke-14 dunia, sedar bahawa dirinya harus bekerja keras untuk sentiasa menunjukkan peningkatan bagi mencapai prestasi yang ditetapkan oleh badan induk itu dalam memantapkan Projek 24.

“Berdasarkan pengumuman BAM, tiada siapa yang 100 peratus selamat di BAM. Pemain yang sama umur dengan saya (Tan Jia Wei) pun telah digugurkan, saya tak sangka dia akan dibuang.

“Jadi, walaupun ada pihak berkata saya paling selamat, tetapi saya masih sedar jika dalam setahun saya tidak mempunyai keputusan yang baik, saya kena bersedia untuk digugurkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan rasmi kejohanan Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena, hari ini.

Pada Jumaat lepas, BAM telah menggugurkan tujuh pemain, iaitu Soong Joo Ven, Tan Jia Wei dan Ziyad Md Tah (perseorangan lelaki), Teo Ee Yi/Ong Yew Sin (beregu lelaki) dan Lim Peiy Yee serta Lim Chiew Sien (beregu wanita), yang tidak mencapai sasaran yang ditetapkan sehingga Disember lepas.

Zii Jia, pemenang pingat emas Sukan SEA, juga mahu mencapai sasaran menduduki ranking 10 teratas dunia tahun ini, selepas gagal mencapainya pada 2019.

Diberikan undian sukar apabila terpaksa menentang pemain nombor empat dunia, Anders Antonsen dari Denmark pada Masters Malaysia yang berlangsung dari Selasa hingga Ahad depan, Zii Jia mengharapkan kelebihan beraksi di laman sendiri membantunya mencipta kejutan, selepas kecundang dalam kedua-dua pertemuan menentang pemain pilihan ketiga itu setakat ini.

“Memang semua pemain mahu mencipta kejayaan (untuk menang kejuaraan) di negara sendiri, tetapi saya nak mengambil selangkah demi selangkah dan tidak memberikan tekanan tinggi kepada diri,” katanya.

Sementara itu, Ee Yi berkata beliau dan pasangannya, Yew Sin sedang membuat perancangan mengenai masa depan mereka, seperti pencarian dana dan penaja supaya terus kekal bersaing dalam tempoh kelayakan Sukan Olimpik yang akan berakhir pada akhir April.

“Oleh kerana baru sahaja digugurkan, kami ada sedikit masalah membuat perancangan, namun kami mahu mengucapkan terima kasih kepada BAM kerana telah memberikan kami segala-galanya dan menjaga kami lebih 13 tahun… Tanpa BAM, tiada kami. Kami akan terus berjuang hingga tempoh kelayakan tamat.

“Pemain senior seperti (bekas beregu lelaki kebangsaan) Tan Boon Heong, yang juga merupakan idola saya, dan (pemain profesional) Chan Peng Soon banyak membantu. Selepas ini mungkin kita akan menyertai latihan bersama beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Kiong dan (beregu campuran) Peng Soon/Goh Liu Ying,” katanya. – BERNAMA

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button