Berita

Tak dapat ambil baju, mesin basuh dobi dipecahkan

SEORANG lelaki diberkas polis selepas memecahkan mesin basuh di sebuah kedai dobi di Jalan Putra, Taman Tanjung Puteri, Kuala Ketil, Selasa lalu kira-kira pukul 6.30 petang.

Dipercayai lelaki yang berusia 38 tahun itu merosakkan mesin basuh tersebut menggunakan sebatang besi selepas tidak dapat membuka pintu mesin basuh untuk mengambil pakaiannya.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, sekitar 11.30 malam, anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Baling dibantu anggota Balai Polis Kuala Ketil membuat serbuan di belakang sebuah bangunan di pekan Kuala Ketil dan menangkap suspek selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.25 malam.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku merosakkan mesin basuh di kedai tersebut selepas tidak dapat membuka pintu mesin basuh itu untuk mengambil bajunya.

“Suspek juga didapati positif dadah methaphetamine selepas ujian air kencing dijalankan, selain mempunyai enam rekod kesalahan lampau,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat. -SM

(Visited 251 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button