NasionalPolitik

Tak bertanding jawatan dalam parti, Nurul Izzah fokus raih sokongan atas pagar

AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar memilih untuk tidak bertanding sebarang jawatan pada pemilihan PKR kerana mahu menumpukan  kepada usaha meraih sokongan pengundi atas pagar.
Dalam hantaran di Facebook beliau berkata, seiring dengan komitmen penuh kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan beliauakan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia.
“Menyorot kembali, anggota Keadilan telahpun memberi sokongan penuh ketika saya bertanding dalam ketiga-tiga penggal pemilihan lalu.
“Disember 2018 – saat perletakan jawatan saya adalah apabila kita telah pun membujur lalu melintang patah, sampai di Putrajaya – namun pasrah di pertengahan jalan akibat pengkhianatan dalaman.
“Suara hati saya tuntas melahirkan penolakan – kepada bahang khianat yang jelas dirasakan sebelum penggulingan kerajaan yang dipilih rakyat berlaku,” katanya.
Perletakan jawatan tersebut katanya, bukanlah titik noktah akhir perjuangan dalam parti, sebaliknya merupakan langkah introspeksi – mengingatkan semua, termasuk dirinya sendiri tentang kepentingan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita, serta kepimpinan parti kepada perjuangan asal reformasi.
“Masa itu amat berharga. Dengan ruang masa yang lebih daripada sebelumnya, saya berkesempatan meneruskan tugasan bukan sahaja selaku ahli parlimen dan anggota PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara), tetapi juga berjaya berkat dokongan pakar ekonomi tersohor Profesor Dr Fatimah Kari, mendokumenkan laporan Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh di kalangan keluarga B40 yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.
Melalui parti katanya,. beliau terbuka mata menyelami ukuran kemiskinan dengan lebih mendalam lagi.
Katanya, wadah politik semata tidak semestinya mampu meraih dokongan rakyat yang tercalar teruk selepas sekumpulan besar ahli parlimen dari PKR mengkhianati parti itu.
“Kebertanggungjawaban memandu agenda seterusnya bagi memperkukuh parti ini harus dirangkul secara bersama, dengan capaian kekuatan serta jajaran yang bersifat pelbagai dimensi, merangkumi pelbagai sayap.
“Meski, saya tidak terlihat di dalam pesta demokrasi parti, saya tetap mendokong rakan-rakan yang bertanding dengan penuh semangat setiakawan. Moga-moga KEADILAN mampu membidani satu lapisan kepimpinan yang gah dan komited.
“Berikan saya ruang untuk memacu gerakan Ayuh Malaysia sepenuhnya. Titik pertemuannya adalah kejayaan kita meraih semula keyakinan rakyat yang telah banyak berkorban lalu menongkah badai sosioekonomi yang perit, lebih-lebih lagi selepas dilanda pandemik tetapi kecewa dengan kemelut politik negara.
“Sudilah juga bersama saya sedang kami mengorak langkah dari Permatang Pauh ke Johor Bahru, kemudian singgah di Pensiangan sebelum ke Labuan (memandangkan saya masih dihalang daripada bertandang di Bumi Kenyalang).
“Sertai Jelajah Ayuh Malaysia. Kita dengarkan bersama suara rakyat – yang sentiasa tersemat sebagai suara keramat,” katanya. – SM
(Visited 289 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button