Mahkamah

Bapa dihadapkan ke mahkamah bunuh bayi 8 bulan

SEORANG buruh kasar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pasir Puteh hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia lapan bulan pada 13 Oktober lalu.

Bayi lelaki itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan badannya dilumur garam di dalam guni di bahagian dapur sebuah rumah.

Selain itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala yang berkemungkinan akibat hentakan atau terjatuh.

Tertuduh, Wan Roslan Wan Mustapa, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Dinie Shazwan Ab Shukor.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Wan Roslan didakwa membunuh anak lelakinya, Wan Mohamad Afiq Zafwan Wan Roslan di Kampung Sungai Dua, Repek, Bachok, Kelantan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nor Hanifah Mohamad, 32, menggunakan sebatang penyapu di tempat, tarikh dan masa sama.

Tiada sebarang pengakuan juga direkodkan daripada tertuduh.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Asma’a Che Omar manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Izwan Ishak.

Ketika prosiding, Muhamad Izwan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh dalam tempoh sebulan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen bagi menunggu keputusan laporan bedah siasat mangsa serta laporan psikiatrik.

Mahkamah menetapkan 24 November ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen serta memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi mengenal pasti tahap kewarasan tertuduh. – SUMBER BERNAMA – SM

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button