Berita

Tahun Melawat Perlis dapat sambutan luar biasa pelancong

LONDON – Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai Kuala Perlis, Wang Kelian View Point, Bukit Chabang, Kuala Perlis, Arked Niaga Padang Besar, Gua Kelam, Bukit Keteri, Hutan Lipur Bukit Ayer, Tasik Timah Tasoh dan beberapa lokasi lain merupakan destinasi popular yang menjadi tumpuan para pelancong yang bertandang ke negeri Perlis.

Antara usaha yang dijalankan bagi memastikan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang telah berlangsung selama setahun dan bakal berakhir pada penghujung tahun 2025 ini ialah melalui program-progran seperti Jejak Eko Pelancongan, Jejak Agro Pelancongan, Jejak Pelancongan Sejarah, Warisan dan Seni Budaya, Jejak Lawatan Membeli-belah dan Makanan serta Jejak Pelancongan Sukan dan Rekreasi.

Demikian menurut kenyataan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas Baginda berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis berupa Kurma Daging Perlis di Cempaka Restaurant, Grand Plaza Park City, Kensington Hotel, 18-30 Lexham Gardens, Kensington, London W8 5JE, United Kingdom baru-baru ini.

Ia dianjurkan oleh restoran tersebut dengan kerjasama YTSP Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan usahawan Datuk Salahudin Yaakob.

Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh pemilik restoran berkenaan, Shaharil Izhar yang berasal dari Sungai Nibong, Pulau Pinang.

Restoran yang cukup terkenal di kota London dengan masakan Nasi Goreng Kampung dan Sup Ekor serta Chicken Chop ini telah menjalankan perniagaan selama kira-kira setahun.

Promosi Masakan Kurma Daging Perlis ini boleh didapati di restoran ini bermula pada 6 Januari hingga 6 Februari 2025 untuk tempoh selama satu bulan.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, atas faktor persekitaran yang aman, damai, selesa dan selamat yang jauh dari hiruk pikuk kota menjadikan Perlis destinasi yang semakin popular dikunjungi oleh pelancong domestik pada ketika ini.

Foto : Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button