Ekonomi

Bank Rakyat catat keuntungan sebelum cukai, zakat RM1.79 bilion

KUMPULAN  Bank Rakyat mengumumkan keuntungan sebelum cukai dan zakat bagi tahun kewangan berakhir Disember 2019 sebanyak RM1.79 bilion dan keuntungan bersih sebanyak RM1.15 bilion.

Prestasi yang baik dicapai melalui pendapatan bersih yang lebih tinggi tahun ke tahun sebanyak 3.26 peratus.

Ia didorong oleh pertumbuhan pendapatan operasi teras dan kos dana tahun ke tahun yang lebih rendah sebanyak 1.62%, hasil daripada penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada separuh kedua tahun 2019 serta inisiatif berterusan untuk meningkatkan baki Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA).

Prestasi yang mampan dicapai menerusi asas yang kukuh dan fokus dalam aktiviti teras Kumpulan meskipun mengharungi keadaan persekitaran yang mencabar.

Kumpulan telah berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Bank Koperasi yang paling tinggi keuntungannya dan institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia.

Peningkatan Aset

Jumlah aset Bank Rakyat meningkat sebanyak 2.6 peratus atau RM2.73 bilion kepada RM109.62 bilion, berbanding RM106.89 bilion sebelum ini. Peningkatan tahun ke tahun ini didorong oleh pertumbuhan pembiayaan dan pendahuluan sebanyak 2.8 peratus atau RM1.96 bilion kepada RM70.97 bilion.

Pulangan Atas Aset (ROA) pada tahun ini kekal sihat, pada 1.7 peratus dan melebihi ROA industri perbankan domestik iaitu pada 1.6 peratus.

Pertumbuhan Baki Pembiayaan Yang Stabil

Bagi tahun berakhir 2019, baki pembiayaan kasar berjumlah RM72.42 bilion, berbanding RM70.40 bilion sebelum ini. Walaupun dalam persaingan yang sengit, Kumpulan terus mendapat manfaat daripada kepelbagaian portfolio, terutamanya daripada pembiayaan perumahan, kenderaan dan perniagaan.

Pembiayaan perumahan meningkat 12.3 peratus atau RM0.73 bilion kepada RM6.65 bilion berbanding RM5.92 bilion sebelum ini. Pembiayaan kenderaan meningkat 11.2 peratus atau RM0.31 bilion kepada RM3.08 bilion berbanding RM2.77 bilion sebelum ini.

Sementara itu, pembiayaan perniagaan, terutamanya segmen koperasi meningkat 9.0 peratus atau RM0.20 bilion kepada RM2.42 bilion berbanding RM2.22 bilion sebelum ini.

Sebagai sebahagian daripada kepelbagaian atas portfolio lain, pembiayaan peribadi berjumlah RM55.53 bilion, meningkat secara moderat 1.2 peratus atau RM0.65 bilion, sejajar dengan strategi jangka panjang Kumpulan untuk mengurangkan kebergantungan secara keseluruhan atas pembiayaan peribadi.

Kadar Liputan Atas Kerugian Pembiayaan terus kekal tinggi pada 127.3 peratus (2018: 115.8 peratus), lebih baik daripada purata industri domestik sebanyak 89.6 peratus.

Selain itu, Kumpulan terus mengawasi kualiti asetnya dengan nisbah Pembiayaan Terjejas Kasar yang lebih baik, pada kadar 1.93 peratus berbanding dengan 2.12 peratus sebelum ini.

BACA:

Pertumbuhan Deposit Yang Kukuh

Jumlah deposit Kumpulan sebanyak RM83.83 bilion pada 2019, berbanding RM82.74 bilion sebelum ini.

Baki Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) meningkat dengan ketara iaitu 15.1% atau RM0.87 bilion kepada RM6.60 bilion tahun ini, seiring dengan strategi untuk meningkatkan CASA.

Kedudukan Modal Yang Mampan

Dana pemegang saham Kumpulan meningkat sebanyak 9.4% kepada RM19.55 bilion pada 2019 (2018: RM17.87 bilion) yang disumbangkan oleh keuntungan bersih tahun ini.

Pada 31 Disember 2019, Nisbah Modal Berwajaran Risiko dan Nisbah Modal Teras selepas dividen akhir yang dicadangkan masing-masing kekal kukuh pada 23.6% dan 22.1%. Nisbah modal ini melebihi keperluan kawal selia minimum, meletakkan Kumpulan sebagai salah satu bank terkukuh dari segi kedudukan modal.

Dividen

Bank Rakyat menghargai sokongan anggota dan dengan berbesar hati mengumumkan pembayaran dividen 14% dengan jumlah anggaran sebanyak RM406 juta kepada semua anggotanya untuk tahun 2019.

Sumbangan kepada Kumpulan Wang Amanah Koperasi

Kumpulan Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak 2% daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM35 juta disumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan 1% bersamaan RM18 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

Jumlah sumbangan bagi tahun 2019 adalah sebanyak RM53 juta.

Bank Rakyat akan terus memberi tumpuan kepada penstrukturan dalaman, terutamanya bagi memanfaatkan potensi yang boleh diterokai dalam perniagaan dan operasi untuk mewujudkan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham.

Bank  Rakyat juga mengalu-alukan orang ramai untuk melanggan produk dan perkhidmatan yang disediakan melalui rangkaian 147 cawangan Bank Rakyat, Ar-Rahnu X’Change, Rakyat Xcess, serta Terminal Layan Diri (ATM, CDM, CICO) di seluruh negara.

Di samping itu, anggota dan pelanggan juga boleh mendapat manfaat melalui talian khidmat pusat panggilan, tele-Rakyat 1-300-80-5454 dan perkhidmatan perbankan internet www.irakyat.com.my bagi transaksi perbankan harian.

(Visited 383 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button