Nasional

Triti persempadanan laut Malaysia-Indonesia: Apa yang belum anda ketahui?

UNTUK SIARAN SERTA-MERTA

TRITI PERSEMPADANAN LAUT WILAYAH DI KAWASAN PALING SELATAN SELAT MELAKA DAN TRITI PERSEMPADANAN LAUT WILAYAH (SEPARA) DI LAUT SULAWESI ANTARA MALAYSIA DAN REPUBLIK INDONESIA

Kementerian Luar Negeri (KLN) merujuk kepada pemeteraian “Triti antara Malaysia dengan Republik Indonesia yang berhubungan dengan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka” (“Triti Selat Melaka”) dan “Triti antara Malaysia dengan Republik Indonesia yang berhubungan dengan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Laut Sulawesi” (“Triti Laut Sulawesi”). Kedua-dua Triti ini telah ditandatangani pada 8 Jun 2023 di Seri Perdana, Putrajaya.

KLN mendapati bahawa terdapat persepsi dan dakwaan yang salah mengenai kedua-dua Triti tersebut walaupun telah dijelaskan oleh YAB Perdana Menteri semasa Sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 13 Jun 2023.

Berikut merupakan fakta-fakta sebenar mengenai kedua-dua Triti tersebut:

Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi mengandungi peruntukan berkenaan dengan persempadanan laut wilayah (territorial sea) antara Malaysia dan Indonesia. Secara amnya, laut wilayah adalah bahagian laut yang berdampingan dengan pantai wilayah dan tidak melebihi dua belas (12) batu nautika diukur bermula dari pesisir pantai. Triti-triti tersebut tidak meliputi ZEE atau zon ekonomi eksklusif (exclusive economic zone) dan pelantar benua (continental shelf) Malaysia yang merupakan kawasan yang melebihi dan berdampingan dengan laut wilayah Malaysia dan meluas sehingga sejauh 200 batu nautika.

Gambarajah penetapan zon maritim UNCLOS 1982

Triti Selat Melaka

Triti Selat Melaka menetapkan garisan sempadan laut wilayah Malaysia dan laut wilayah Indonesia di kawasan paling selatan Selat Melaka. Garisan sempadan tersebut menghubungkan Titik-titik 8A, 8B dan 8C sebagai sambungan kepada Titik 8, yang merupakan titik penghujung kepada garisan sempadan yang telah dipersetujui antara kedua-dua negara pada 17 Mac 1970 di Kuala Lumpur. Persetujuan garisan sempadan 1970 dikenali sebagai “Triti antara Republik Indonesia dengan Malaysia berhubung dengan Persempadanan Laut Wilayah Kedua Negara Di Selat Melaka” (Triti 1970).

Penetapan garis sempadan maritim yang dipersetujui melalui Triti Selat Melaka ini tidak melibatkan kawasan had Pelabuhan Tanjung Pelepas dan kawasan ship-to- ship transfer. Garis perbatasan persempadanan maritim tersebut juga terletak di luar tiga (3) batu nautika dari pesisir pantai negeri Johor.

Garis sempadan di bawah Triti Selat Melaka hanya ditetapkan sehingga ke Titik 8C sahaja. Ini mengambil kira sebarang garisan sempadan sebagai sambungan daripada Titik 8C dan seterusnya mungkin menuju ke arah suatu kawasan yang akan memerlukan rundingan melibatkan tiga negara Malaysia, Indonesia dan Singapura. Kerajaan Malaysia akan menentukan proses rundingan bagi pembatasan persempadanan maritim di kawasan berkenaan pada masa yang sesuai.

Perlu dijelaskan juga, perjanjian persempadanan antara Indonesia dan Singapura pada tahun 2009 tidak akan mempengaruhi penentuan garis persempadanan selepas Titik 8C kelak kerana perjanjian tersebut hanya mengikat pihak-pihak yang terbabit.

Triti Laut Sulawesi

Triti Laut Sulawesi pula menetapkan sempadan separa (partial boundaries) laut wilayah antara Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi berdasarkan garis sempadan menghubungkan Titik-titik M, B1, B, C dan P.

Garisan sempadan ini belum melengkapi keseluruhan kawasan laut wilayah (full breadth of territorial sea) antara kedua-dua negara di kawasan tersebut. Ini kerana masih terdapat jurang garis sempadan laut wilayah dari tikas air surut (low water line), iaitu dari timur pesisir pantai Pulau Sebatik ke Titik M. Pada masa yang sama, terdapat juga jurang dari Titik P menuju ke arah kawasan ZEE di mana persempadanan di zon tersebut masih belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara.

Malaysia dan Indonesia komited untuk meneruskan rundingan bagi melengkapkan jurang dari tikas air surut (low water line) ke Titik M, dan juga bagi menetapkan garis sempadan dari tikas air surut ke East Pillar (intertidal area) yang dikira sebagai persempadanan darat di antara Malaysia dan Indonesia secara menyeluruh selewat-lewatnya pada bulan Jun 2024.

Perlu dijelaskan bahawa Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun 2023 tidak melibatkan persempadanan maritim di ZEE dan pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia. Dalam erti kata lain, Triti tersebut tidak melibatkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau yang dirujuk Indonesia sebagai Ambalat. Oleh yang demikian, dakwaan-dakwaan yang dibuat sesetengah pihak adalah tidak berasas.

Kedua-dua pemimpin Malaysia dan Indonesia telah menugaskan pasukan rundingan pembatasan sempadan maritim masing-masing untuk memulakan rundingan secepat mungkin bagi sempadan-sempadan maritim yang belum dimuktamadkan tersebut.

Perlu dijelaskan juga bahawa sepertimana garis sempadan maritim kawasan paling selatan Selat Melaka tidak melibatkan had Pelabuhan Tanjung Pelepas, garis sempadan yang ditetapkan di bawah sempadan separa laut wilayah Laut Sulawesi tidak melibatkan had Pelabuhan Tawau.

Prinsip-prinsip pembatasan maritim dalam Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi

Proses sepanjang rundingan bagi kedua-dua Triti Selat Melaka dan Laut Sulawesi telah didasarkan kepada prinsip-prinsip dan garis panduan yang dipersetujui bersama oleh Malaysia dan Indonesia yang meliputi perkara-perkara berikut:

a) Penggunaan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa yang berkenaan, terutamanya Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (KUUL 1982) atau United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS 1982) termasuk penggunaan prinsip-prinsip kaedah sama jarak (equidistant);

b) Rujukan dan penggunaan material yang digunapakai bagi tujuan pembatasan persempadanan maritim:

i. Handbook on the Delimitation of Maritime Boundaries terbitan Division for Ocean Affairs and the Law of the Sea (DOALOS), United Nations, 2000 Publication; dan

ii. Technical Aspects of the Law of the Sea (TALOS) terbitan International Hydrographic Organisation (IHO), 1993 (3rd Edition).

c) Penggunaan carta British Admiralty Charts (BA 1852, BA 2009) sebagai asas kepada peta-peta yang dilampirkan sebagai Annexure dalam Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi yang berkenaan dan telah dikemaskini dan berskala besar, dan mana-mana carta berskala besar yang sedia ada; dan

d) Penggunaan World Geodetic System (WGS) 84 Datum.

Pada masa yang sama, rujukan turut dibuat kepada kes-kes terdahulu (precedent cases) yang telah diputuskan oleh mahkamah antarabangsa dan tribunal antarabangsa.

Perlu ditegaskan bahawa persempadanan maritim dalam Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi adalah berdasarkan pilihan titik-titik sempadan yang terbaik yang dapat dicapai secara bersama berdasarkan prinsip-prinsip yang tersebut di atas.

Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia

Pemeteraian triti-triti tersebut telah mengambil kira nasihat dan pandangan pakar- pakar maritim negara, iaitu Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia. Pasukan ini diterajui KLN, dan dianggotai agensi-agensi teras iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Pusat Hidrografi Nasional (PHN). Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia turut melibatkan agensi- agensi lain serta pihak-pihak yang berkaitan, termasuk Kerajaan Negeri, dalam merangka strategi dan pendekatan semasa proses rundingan.

KLN ingin menjelaskan bahawa dokumen lima (5) muka surat bertajuk “NOTA MEMORANDUM DARIPADA MENTERI LUAR NEGERI PENYELESAIAN ISU SEMPADAN MARITIM MALAYSIA-REPUBLIK INDONESIA” bukan merupakan dokumen yang disediakan oleh Kementerian ini atau mana-mana anggota Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia.

Kementerian kesal dengan dakwaan-dakwaan oleh sesetengah pihak yang didasarkan pada dokumen tersebut, walaupun ia jelas menyeleweng daripada fakta sebenar dan terkini berhubung proses rundingan Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi.

Proses Memuktamadkan Rundingan dan Keputusan berhubung Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi

Kerajaan tidak pernah dan tidak akan sekali-kali mengambil ringan dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan isu kedaulatan Malaysia, termasuk isu berhubung persempadanan maritim negara.

Rundingan mengenai pembatasan laut wilayah di kawasan paling selatan Selat Melaka dan laut wilayah di Laut Sulawesi telah berlangsung selama 18 tahun bermula pada tahun 2005. Sebanyak 39 mesyuarat di peringkat Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia dan Indonesia telah diadakan. Mesyuarat ke-39 diadakan pada 11-13 Oktober 2022. Di samping itu, mesyuarat-mesyuarat di peringkat Kumpulan Kerja Teknikal turut diadakan sepanjang tempoh tersebut.

Garisan sempadan laut wilayah yang menghubungkan Titik-titik 8, 8A, 8B dan 8C dalam Triti Selat Melaka, dan garisan sempadan laut wilayah yang menghubungkan Titik-titik M, B1, B, C dan P dalam Triti Laut Sulawesi telah dimuktamadkan semasa Mesyuarat ke-34 Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia dan Indonesia pada 17-18 November 2018.

Semasa Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Jakarta pada 8-9 Januari 2023, persetujuan telah dicapai supaya Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi berdasarkan garisan-garisan sempadan laut wilayah yang dimuktamadkan semasa Mesyuarat ke-34 dimeterai dalam masa terdekat. Perkara yang sama turut dibincangkan sekali lagi di antara YAB Perdana Menteri dan TYT Presiden Joko Widodo pada 9 Mei 2023 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo.

Sebagai susulan kepada persetujuan tersebut, KLN telah mengedarkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) pada 27 Mei 2023 untuk mendapatkan ulasan daripada agensi-agensi di dalam Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia. Pada dasarnya, semua agensi berkenaan bersetuju dengan syor supaya Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi ditandatangani sebagai penyelesaian sebahagian isu persempadanan maritim laut wilayah Malaysia-Indonesia. MJM tersebut kemudian dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun 2023 di mana Jemaah Menteri bersetuju dengan syor yang dinyatakan.

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun 2023, kedua-dua Triti tersebut telah ditandatangani semasa Lawatan Kerja TYT Presiden Joko Widodo pada 7-8 Jun 2023.

Kesimpulan

Langkah pemeteraian Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi telah dipersetujui mengambil kira elemen-elemen penyelesaian yang dapat dicapai secara bersesama menggunakan prinsip-prinsip pembatasan sempadan maritim berdasarkan justifikasi perundangan dan teknikal yang kukuh bagi menyelesaikan isu-isu pembatasan sempadan maritim.

Pemeteraian kedua-dua Triti ini merupakan satu milestone kepada Malaysia dan Indonesia. Ianya merupakan hasil proses rundingan selama 18 tahun yang melibatkan aspek-aspek teknikal, perundangan, ekonomi dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Kali terakhir Triti seumpama ini dimeterai antara Malaysia dan Indonesia adalah pada 53 tahun yang lalu iaitu Triti 1970.

Apabila triti-triti tersebut mula berkuat kuasa, ia akan memberikan kejelasan dari segi kedaulatan dan bidang kuasa yang membolehkan kedua-dua negara menjalankan aktiviti penguatkuasaan undang-undang di kawasan maritim masing- masing secara lebih berkesan. Ini termasuk aktiviti pencegahan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan barangan dan pemerdagangan manusia.

Di samping itu, aktiviti-aktiviti ekonomi dan pembangunan seperti perikanan dan eksplorasi dan eksploitasi sumber marin dalam zon laut wilayah dapat dilakukan dengan lebih teratur dan lebih terjamin.

Pemeteraian triti-triti tersebut diharap akan terus meningkatkan keyakinan bagi kedua-dua negara untuk meneruskan rundingan pembatasan persempadanan maritim yang belum diselesaikan terutamanya di ZEE dan pelantar benua.

PUTRAJAYA 20 Jun 2023

WISMA PUTRA

(Visited 538 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button