Nasionalpilihan

Cedera tergelincir ketika memasak, suri rumah terima faedah Hilang Upaya Kekal

NASIB seorang suri rumah yang cedera pada bahagian leher dan belakang pinggang akibat tergelincir ketika memasak, terbela apabila diberikan faedah Hilang Upaya Kekal (HUK).

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Selangor, Ismail Abi Hashim, berkata suri rumah berinsurans (SRB) berusia 52 tahun itu pada mulanya sedang menyediakan makanan tengah hari di rumahnya.

Berdasarkan laporan, jelasnya, SRB yang ketika itu menuju ke kabinet dapur untuk mengambil sudu bagi merasa hidangan yang disediakan, tiba-tiba tergelincir disebabkan lantai basah dan berminyak pada 17 Mei lalu.

“Puan Gurdeep Kaur disahkan mengalami kecederaan slipped disc di bahagian leher dan belakang pinggang selepas mendapatkan rawatan di Hospital Columbia Asia, Klang pada hari yang sama.

“Susulan tuntutan Notis Bencana Domestik yang difailkan di Pejabat PERKESO Klang, hasil semakan mendapati pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) secara sukarela ini layak diberikan faedah HUK.

“Kes beliau dirujuk ke penilai perubatan dan keputusan sebanyak 11 peratus diberikan dengan jumlah pampasan sekali bayar sebanyak RM3,300,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke kediaman Puan Gurdeep, di Taman Klang Utama, di sini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei, iaitu G Saravanan yang menyerahkan baucar faedah HUK kepada Puan Gurdeep.

Bersandarkan perangkaan setakat 26 November lalu, seramai 200,528 pencarum SKSSR direkodkan dari seluruh negara, manakala jumlah pembayaran faedah kepada 364 penerima adalah RM974,769.32. – SM

Artikel berkaitan > Isteri lapan anak lega terima Pencen Penakat Perkeso

(Visited 103 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button