PolitikPRK

Teka-teki siapa calon PH, BN bagi PRK Tg Piai bakal terjawab petang ini

PONTIAN- Teka-teki mengenai siapa calon yang bakal disandarkan harapan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) Tanjung Piai, bakal terjawab petang ini apabila kedua-dua pakatan itu dijangka membuat pengumuman khas hampir serentak, di sini.

Pengumuman itu dibuat berbaki lima hari lagi menjelang hari penamaan calon pada 2 Nov ini (Sabtu). 

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi PH Johor, akan mengetuai barisan kepimpinan PH Johor untuk mengumumkan calon pilihan PH pada satu majlis memperkenalkan calon pada pukul 2 petang. 

Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal, yang juga Pengarah Jentera PH bagi PRK kali ini dijangka menghadiri majlis tersebut, selain barisan kepimpinan PH yang lain termasuk Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai Karmaine Sardini, antara tiga nama yang dilaporkan disenarai pendek untuk menjadi calon PH-Bersatu bagi PRK ini selepas penyandangnya, Datuk Dr. Md Farid Mr Rafik meninggal dunia pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Karmaine, yang pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Pontian pada Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14), tewas kepada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-UMNO).

Ahmad menang tipis dengan memperoleh 21,132 undi manakala Karmaine meraih 20,299 undi.

Sementara itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula bakal melancarkan Jentera BN pada pukul 3.30 petang.

Majlis itu yang dijangka dihadiri parti komponen termasuk MCA, turut memberi isyarat akan memperkenalkan calon bagi merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai itu.

MCA, yang pernah bertanding kerusi itu dijangka mempertaruhkan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Wee pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada tahun 2013 hingga 2018, dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas.

Pada PRU14, Wee tewas kepada Dr. Md Farid ketika bertanding bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 524 undi.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov ini.

— BERNAMA

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button