HaiwanNasional

Pagar elektrik rosak punca gajah masuk Kem Sri Banding

KEROSAKAN pagar elektrik di Kem Sri Banding, Gerik dipercayai menjadi punca seekor gajah memasuki kawasan itu seperti yang tular menerusi rakaman video semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima laporan mengenai pencerobohan haiwan liar itu pada kira-kira pukul 3 petang.

“Punca gajah tersebut masuk mungkin disebabkan kerosakan pagar elektrik kem berkenaan.

“Pihak PERHILITAN Daerah Gerik akan membantu dan memberi nasihat kepada pihak kem bagi kerja-kerja baik pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama malam tadi dan turut menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan gajah berkenaan.

Tular beberapa klip video yang menunjukkan seekor gajah dipercayai mencari makanan dalam kem milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dilihat turut merosakkan peralatan di kawasan itu.

Yusoff berkata, pihak PERHILITAN percaya haiwan liar itu adalah gajah sama yang selalu pergi ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran Puncak Titiwangsa, Gerik untuk mencari makanan.

“Gajah ini sudah biasa dengan manusia dan biasa makan sisa buangan manusia,” katanya. – SM

(Visited 281 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button