Nasional

Perkasakan undang-undang supaya pencemaran air tidak berulang

MASALAH bekalan air di beberapa bahagian di negeri Selangor dan Putrajaya yang berlarutan selama tiga hari ternyata telah memberi kesan yang mendalam kepada rakyat terutama dalam urusan sehari-hari.

Memang air adalah urusan utama yang penting dalam kehidupan seharian. Malah akibat masalah bekalan air yang dikatakan berpunca dari masalah pencemaran air di Sungai Semenyih menyebabkan ada dalam kalangan masyarakat pergi ke pejabat tidak mandi hari ini dan hanya berbekalkan minyak wangi sebagai pengganti bagi mengelak badan berbau.

Lebih menyebabkan kemarahan orang ramai adalah tiada sebarang notis awal dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab tentang masalah ini supaya persediaan awal dapat dilakukan.

Namun kita juga perlu maklum bahawa punca masalah ini adalah akibat perbuatan tidak bertanggung jawab beberapa pihak yang dengan sengaja membuang bahan tercemar iaitu pelarut dan minyak hitam ke dalam sungai dan mengakibatkan kita sebagai pengguna mengalami masalah hingga menyukarkan kehidupan.

Oleh itu sudah sampai masanya bagi pihak kerajaan supaya lebih serius menangani masalah ini terutama melibatkan soal pemantauan dan hukuman.

Malah jika dilaksanakan hukuman berat atau sebat sekali pun bagi penulis dan masyarakat secara umum tidak ada masalah kerana kesan yang dilalui akibat pencemaran air ini sangat mengecewakan terutama dalam menangani kehidupan seharian.

Kita tidak mahu perkara ini berterusan menjadi barah dalam masyarakat kerana air bukan sahaja untuk kegunaan kita tetapi untuk semua hidupan ciptaan Tuhan selain menjadi bekalan pada anak cucu cicit kita pada masa hadapan.

Bagi pihak kerajaan negeri Selangor pula, mereka telah mendakwa bertungkus lumus sejak tiga hari lepas dalam menangani masalah bekalan air yang tercemar.

Banyak pihak yang cuba menyalahkan kerajaan negeri yang dikatakan lambat bertindak dan sengaja membiarkan perkara ini berlarutan.

Namun menurut satu kenyataan yang disiarkan di halaman Facebook Friends Of Selangor, kerajaan negeri telah bersengkang mata menyelesaikan masalah ini sejak awal lagi tetapi akibat dari pencemaran, ia terpaksa mengambil masa supaya kualiti air dapat kembali pada tahap asal supaya pengguna tidak berhadapan masalah kesihatan.

Oleh itu tiada upaya lain yang perlu diutamakan selain pemantauan yang lebih menyeluruh supaya dalang dapat ditangkap segera serta hukuman yang lebih berat dan tegas perlu dilaksanakan.

Jika tidak ia akan berterusan dan usaha ini hanyalah ibarat mencurah air di daun keladi.

Berikut disiarkan kenyataan dan soal jawab mengenai isu air yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. -SM

Q&A Isu Pencemaran Air Di Sungai Semenyih
1. Apakah yang berlaku?
Sungai Semenyih tercemar akibat pencemaran pelarut dan minyak hitam. Hasilnya bekalan air tidak selamat untuk digunakan. Ia perlu dibersihkan ataupun ditukar untuk memastikan penduduk Selangor tidak jatuh sakit akibat pencemaran ini.

2. Bilakah isu ini bermula?
Sekitar petang hari Sabtu. Dan kerja-kerja menangani masalah tersebut telah bermula sejak saat pencemaran dikesan di pintu sauk.

3. Apakah yang telah dilakukan untuk mengatasi masalah ini buat sementara?
Kerja-kerja pembersihan telah dimulakan oleh pihak LUAS dan JPS sejak pencemaran dikesan. Proses mencairkan kesan pencemaran termasuk menyedut air dari Kolam Tasik Idaman (tempat orang memancing dan beriadah) untuk dimasukkan ke Sungai Semenyih. Selain itu, air di LRA Langat 2 turut dialirkan ke Sungai Semenyih. Tambahnya air bersih ke dalam air yang tercemar, makin kuranglah ton pencemaran. Bagi memastikan pengguna mempunyai bekalan air bersih buat sementara waktu, sebanyak 70 buah lori tangki air, 16 lori tangki jumbo, 31 tangki statik dan 16 pili air awam telah digerakkan ke kawasan-kawasan terkesan.

4. Kenapa tak buat kerja awal-awal?
Seperti yang dinyatakan dalam (2) dan (3), kerja-kerja pembersihan telah bermula sejak pencemaran dikesan. Pencemaran pada asalnya berada pada ton 12 (tahap yang sangat bahaya). Ia telah diturunkan ke antara ton 0 hingga 1. Namun, pihak Kerajaan Negeri perlu memastikan pencemaran berada pada ton 0 untuk memastikan pengguna menerima air yang bersih dan sihat. Nanti sakit akibat minum air tercemar, nak salahkan siapa?

5. Kenapa hari ini MB baru buat mesyuarat?
Mesyuarat hari ini adalah untuk menerima perkembangan terkini. Pihak LUAS dan JPS telah memulakan kerja-kerja pembersihan sejak petang Sabtu. Tak meeting tak bermaksud tak buat kerja. Masing-masing mempunyai kerja dan peranan masing-masing.

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button