Berita

Raja Muda Perlis saran kawasan terbiar dijadi kebun mini sekitar rumah

Sepanjang tempoh ‘lockdown’ yang baru sahaja diumumkan pelanjutan tempohnya sehingga 28 Jun 2021 ini, rakyat di negeri ini perlu mengambil kesempatan sebaik mungkin seisi keluarga di rumah dengan mengisi pelbagai aktiviti yang bermanfaat secara bersama.

Masa yang terluang hendaklah digunakan untuk bergotong royong membersihkan kawasan rumah, menghiasi landskap dengan lebih ceria, aktiviti pengumpulan barangan kitar semula seperti kertas, botol, aluminium, minyak terpakai, sisa elektrik dan elektronik.

Demikian titah perutusan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Tambah baginda, ‘Tidak kurang penting juga ialah aktiviti penanaman yang boleh dilaksanakan seperti sayuran, bunga mahupun buah. Ruang sekitar rumah sedia ada yang selama ini terbiar atau tidak diurus dengan baik boleh digantikan dengan aktiviti penanaman pokok sayuran, buah atau bunga’. Penanaman boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah sama ada atas tanah, polibeg mahupun secara hidroponik.
Antara pokok sayuran yang boleh di tanam jangka masa pendek seperti sawi, cili, bayam, serai, pandan dan bermacam lagi.

Manakala pokok buah yang boleh ditanam seperti Harumanis Perlis, mangga-mangga jenis lain, dokong, duku serta rambutan adalah bergantung kepada saiz dan ruang yang ada. Bagi pokok sedia ada, aktiviti pangkasan dan cantasan boleh dibuat untuk menggalakkan pertumbuhan pokok lebih baik.

Pada masa yang sama Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri, Azman Shah Ismail pula mengajak masyarakat terus mempraktikkan amalan ‘Perlis Hebat : Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ seperti yang sentiasa diingatkan oleh Tuanku Raja Muda supaya ‘Barang-barang terbuang yang mudah didapati seperti tayar terpakai boleh dijadikan pasu, begitu juga botol-botol kosong yang boleh dijadikan bekas siraman. Bekas plastik yang rosak dibaikpulih dan dijadikan bekas tadahan air hujan yang sesuai digunakan untuk siraman ketika musim kemarau.

Tambah beliau, ‘Ketika ini kita masih berada dalam ‘mood’ di penghujung syawal yang mana lemang masih terdapat dijual di tepi-tepi jalan. Bekas buluh lemang boleh dikerat untuk membuat pacang dan sebagainya. Begitulah inisiatif dan kreativiti yang boleh dibuat dengan sumber yang ada di sekeliling kita selain baja dan racun pula boleh digunakan dari sumber dapur seperti sisa kulit telur, bilis, ikan, sabun pencuci tangan dan pelbagai lagi’.

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button