Ekonomi

Kebajikan ekonomi rakyat perlu diberi fokus

KEBAJIKAN ekonomi rakyat perlu diberikan fokus oleh kerajaan terutama terhadap hutang isi rumah yang akan lebih terkesan apabila melalui fasa kegawatan.

Selain itu, bantuan khusus juga harus diperkenalkan kepada mereka yang menceburkan diri dalam bidang peruncitan, peniaga gerai atau pasar malam yang hilang punca pendapatan utama.

“Secara tidak langsung pastinya ada pembuangan kerja yang berlaku. Oleh itu, kerajaan harus segera perkenalkan pakej-pakej rangsangan ekonomi bagi mengelakkan rakyat menganggur dengan lebih teruk seperti kegawatan ekonomi pada tahun 1986 dan 1998,” kata pengamal undang-undang, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Katanya, apabila dunia mengalami wabak yang telah dikategorikan sebagai wabak pandemik, ia bukan sahaja mengakibatkan nyawa manusia terancam, bahkan sektor perdagangan, pelancongan, dan pelaburan bakal turut mengalami impak negatif terhadap pertumbuhan sosio ekonomi Malaysia.

Oleh itu katanya, kebajikan ekonomi rakyat perlu diberikan tumpuan oleh kerajaan.

“Kerajaan sudah menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkurangan sebanyak 0.8 peratus sehingga 1.2 peratus iaitu penurunan sebanyak RM10 bilion sehingga RM17 bilion.

“Saya berharap agar langkah pengawalan yang dinyatakan oleh BNM benar-benar dapat menyokong ekonomi individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat korporat bagi menangani kesan akibat wabak COVID-19,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan pakej ransangan ekonomi esok, bagi mengatasi krisis ekonomi berikutan penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sehingga 14 April depan.

Setakat ini sebanyak 2,031 kes dengan 23 kematian di negara ini akibat wabak tersebut.

Menteri-menteri juga telah bersetuju memotong gaji selama dua bulan bagi disumbangkan kepada Tabung COVID-19.

 

(Visited 134 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button