Belang Bertempat

Jangan cemar sistem dan prinsip Raja Berperlembagaan

Institusi diraja di negara ini dan kebanyakan negara di dunia masih kekal kerana sistem yang dipakai adalah sistem Raja Berperlembagaan.

Ini bermakna dalam kerangka keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, raja perlu bertindak di atas nasihat kerajaan dan perdana menteri yang mewakili majoriti rakyat.

Apabila raja mendengar nasihat suara majoriti rakyat, maka raja akan kekal disanjung sebagai raja yang membela nasib rakyat dan bukannya raja yang mendengar nasihat pihak-pihak lain di luar kerajaan.

Jika raja bertindakan mengikut nasihat pihak lain selain daripada kerajaan, ia menjadi sistem monarki sepenuhnya. Sistem monarki ini hanya akan kuat untuk seketika tetapi apabila terdapat revolusi, sistem ini akan tumbang sebagaimana yang berlaku di negara-negara jiran yang menjadi republik.

Jadi apabila ahli parlimen Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO bertindak menyokong kerajaan yang ada hari ini, tindakan itu sangat penting bagi memastikan raya tidak bertindak bersendirian menjatuhkan sebuah kerajaan.

Jika kerajaan hari ini tumbang hanya kerana tindakan raja, ia akan menjadi kes rujukan dan ia akhirnya tidak dianggap sesuatu yang salah, sedangkan ia melanggar prinsip raja berperlembagaan.

Justeru itu Pas juga menyatakan pendirian yang sama melalui Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata, parti itu juga akan berdiri teguh bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Beliau menyatakan, Pas akan mendokong semua keputusan yang telah dibuat oleh Kabinet.

Serentak itu, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air itu meminta semua pihak bersatu ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Pas menyeru semua pihak untuk kekal bersatu padu dan mengenepikan politiking dalam menguruskan negara ketika situasi pandemik Covid-19. Kestabilan politik serta perpaduan rakyat sangat diperlukan dalam menghadapi ancaman pandemik,” katanya.

Seri Paduka Baginda harus memahami mengenai keperluan Agong bertindak mengikut nasihat jemaah menteri seperti terkandung dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Agong juga tidak sepatutnya menjerumuskan diri di dalam politik dan melibatkan diri di dalam konspirasi politik.

Seperkara yang harus diperjelaskan kepada masyarakat bahawa Darurat akan terbatal secara automatik apabila kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan Proklamasi Darurat yang tamat pada Ahad ini.

Kerajaan juga telah mengikut prosedur yang sepatutnya bagi memastikan Ordinan Darurat juga dibatalkan semasa tempoh Darurat masih berlangsung.

Berikut kronologi pembatalan Ordinan dan Proklamasi Darurat:

Jadi tidak timbul soal Agong dikilas tangan supaya bersetuju dengan nasihat kerajaan atau kerajaan telah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bahkan kerajaan hari ini sebenarnya memang telah terlalu banyak mengikut kehendak Agong, bagi mengelakkan berlaku krisis dengan istana, termasuk melaksanakan persidangan Dewan Rakyat, walaupun dalam keadaan kes harian Covid-19 hampir mencecah 20,000.

Akibatnya kini di parlimen sudah terdapat 57 kes Covid-19 dan sepatutnya parlimen dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan dipasang kawat duri.

Atau lebih tepat telah berlaku kluster Parlimen akibat daripada mematuhi kehendak Istana yang mendengar nasihat pihak lain selain kerajaan.

Kemungkinan besar juga persidangan parlimen pada Isnin ini tidak dapat diadakan kerana jumlah kes yang banyak itu dan itupun belum sempat dibuat pengesanan kontak rapat mereka yang dijangkiti wabak tersebut.

Apabila dikatakan tidak boleh menjalankan persidangan parlimen kerana kes wabak yang banyak, pembangkang berhujah sebaliknya dan Agong juga terikut-ikut dengan naratif pembangkang yang kononnya membawa naratif rakyat.

Sedangkan rakyat amat berharap Agong tidak termakan naratif pembangkang, sebaliknya membuat keputusan bijak melindungi rakyat daripada penularan wabak membunuh ini.

Bagaimanapun perkara sebaliknya telah berlaku dan kini kluster baharu telah terjadi  apa yang ditakuti telah berlaku.

Itu belum lagi bila darurat tidak disambung dan pilihan raya negeri Sarawak terpaksa diadakan dalam tempoh 60 hari dan dua pilihan raya kecil juga perlu berlangsung dalam keadaan kes Covid-19 yang tidak berkawal.

Kerajaan terpaksa tidak menasihatkan darurat tidak disambung kerana bukan sahaja rakyat yang termakan hasutan pembangkang bahawa darurat gagal mengekang pandemik, bahkan ia juga telah masuk ke dalam kotak pemikiran istana.

Sedangkan darurat bukan alat untuk mengekangkan pandemik, tetapi ia memberi lebih banyak senjata kepada kerajaan untuk memerangi wabak yang sedang mengganas.

Bermakna kerajaan boleh mengarahkan hospital swasta berperanan sebagai hospital Covid-19 dan turut mengambil alih pelbagai kemudahan untuk dijadikan pusat kuarantin dan pusat pemberian vaksin.

Semua itu menggunakan kuasa darurat yang dapat mempercepatkan tindakan dan kuasa yang lebih kepada kerajaan.

Kerajaan hari ini menggunakan duit yang ada untuk kebajikan rakyat dan membeli vaksin serta menangani krisis kesihatan. Bukannya menggunakan duit untuk pelaburan berbilion mata wang asing atau melabur ke dalam syarikat modal berbayar RM2.

Jadi kerajaan tidak seharusnya dibenci, atau dilempar dengan cacian terutama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berusaha keras memastikan segalanya berjalan lancar.

Jangan diganggu kerana kerajaan telah menetapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan membawa kita keluar dari kemelut wabak ini akhir tahun ini.

Kesimpulannya baliklah semula kepada prinsip raja berperlembagaan, kerana darurat bukan bermakna sistem pemerintahan negara juga berubah kepada pemerintahan raja mutlak.

(Visited 1,440 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button