Nasional

Agong titah sidang Parlimen sebelum 1 Ogos – Rais, Azhar

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah agar sidang parlimen diadakan sebelum 1 Ogos.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizah Harun berkata, titah tersebut disampaikan dalam majlis mengadap di Istana Negara semalam.

Titah Yang di-Pertuan Agong telah disampaikan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan mereka mencadangkan agar Persidangan Khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos.

“Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Timbalan-timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku.

“Titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada majlis menghadap tersebut juga telah dimaklumkan kepada YAB Perdana Menteri dan adalah dicadangkan kepada YAB Perdana Menteri agar satu persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos 2021 mengikut peruntukan-peruntukan undang-undang sedia-ada,” katanya.

Istana Negara dalam satu kenyataan semalam berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah sidang Parlimen perlu diberlangsung segera bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentangkan di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 25 Jun lalu, Rais dan Azhar Azizan dalam satu kenyataan bersama berkata, persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ini ataupun selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.

Satu Sidang Khas Parlimen dicadangkan pada awal bulan Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan COVID-19 yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sesi Sidang Khas ini penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen serta perkara-perkara teknikal yang berkaitan.

“Sekiranya cadangan ini diterima oleh kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen Malaysia untuk memperolehi bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia ada, ujian (trial-run), pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan juga Ahli-ahli Parlimen,” katanya.-SM

(Visited 149 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button