Politik

Penggunaan dana KWAN sama seperti pengeluaran KWSP

Penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sama seperti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata, dana KWSP adalah simpanan masa depan individu dan dana KWAN adalah simpanan negara untuk masa depan.

“Dana KWAN juga adalah dana masa depan. Itu memang kita tahu. Tetapi disebabkan sekarang era krisis yang memerlukan perbelanjaan luar biasa, maka diluluskanlah kebenaran untuk kerajaan belanja dana KWAN jika diperlukan.

“Ia akan dibelanjakan hanya jika kita perlu dana itu pada hari ini walaupun asalnya KWAN – seperti KWSP – adalah untuk masa depan.

“Logik pembenaran pengeluaran KWAN adalah sama dengan masa kita tuntut pembenaran pengeluaran KWSP dulu. Iaitu sekarang ini adalah waktu yang luar biasa. Dan ia adalah untuk jaga rakyat,” katanya.

Beliau menambah apa gunanya dana tersebut diwujudkan 30 tahun lalu untuk masa depan negara sekiranya tidak digunakan ketika negara berhadapan dengan krisis Covid-19.

Wan Saiful  turut menyindir beberapa nama besar dalam UMNO mengetuai ‘kluster merungut’ yang telah membangkitkan isu tersebut.

Tegasnya, kumpulan berkenaan seolah-olah lupa bahawa Menteri Kesihatan dan menteri yang mengetuai urusan berkaitan vaksin adalah dari UMNO sendiri.

“Kluster merungut ini gagal berbincang diperingkat dalaman kawan-kawan sendiri sebab terlalu ghairah nak tunjuk pandai merungut agaknya.

“Bagaimanapun, topik pengeluaran dana KWAN ini adalah topik yang memang wajar dibincang secara rasional. Ia membabitkan tabung yang sepatutnya untuk masa depan negara. Ini isu penting,” katanya.

Beliau menasihatkan rakyat supaya berhati-hati membaca komen dari kluster merungut tersebut.

Menurut beliau, kluster tersebut tidak berfikir mengenai rakyat.

“Mereka fikir apa yang mereka boleh rungutkan saja. Maklumlah, senang popular bila merungut sebab nampak macam hero.

“Hari ini mereka merungut mengenai pengeluaran dana KWAN sebab kononnya KWAN adalah untuk masa depan. Padahal mereka ini lah yang dulu merungut menuntut KWSP boleh dikeluarkan.

“Masa itu, mereka guna alasan tiada faedah jaga masa depan jika hari ini tak boleh jaga rakyat. Tapi sekarang terlupa pula hujah itu. Agaknya, terlalu sibuk cari topik untuk merungut hingga tidak sedar bahawa rungutan mereka dah jadi tidak konsisten langsung,” kata Wan Saiful.-SM

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button