Ekonomi

IKHLAS bekerjasama dengan rakan Saudi jamin hotel untuk jemaah Umrah

Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (IKHLAS), platform kembara dan gaya hidup mesra-Muslim Capital A yang menawarkan pakej Umrah mampu milik dengan penerbangan terus AirAsia X ke Jeddah, memeterai usahasama strategik dengan Dar Al Eiman Investment Co (Dar Al Eiman) bagi mengukuhkan kedudukannya dalam sektor kembara Umrah.

Perjanjian kerjasama selama lima tahun antara IKHLAS dan Dar Al Eiman bertujuan untuk meningkatkan keselesaan jemaah Umrah dan mengurangkan kerisauan mereka dengan memberikan penempatan yang mampu milik, selesa dan paling penting sekali, tempahan hotel yang sahih apabila menjalani ibadah di Mekah dan Madinah.

Ketua Pegawai Eksekutif IKHLAS, Ikhlas Kamarudin berkata: “Adalah satu keistimewaan untuk menjalin usahasama dengan operator tempatan yang kukuh dengan pengalaman luas dan pemilihan hotel di Mekah dan Madinah. Sebagai pemain baru, kolaborasi ini akan membantu kami mengatasi masalah hotel yang semakin membimbangkan berikutan kenaikan permintaan dalam kalangan jemaah Umrah.

“Dar Al Eiman juga menzahirkan keterbukaan mereka bagi menambah pelaburan di Arab Saudi untuk menyokong Umrah IKHLAS juga tawaran pelancongan mesra-Muslim kami di masa depan. Dengan penerbangan AirAsia X kami dan kini jaminan tempahan hotel, kami mahu membantu lebih ramai umat Islam mengerjakan Umrah dengan murah, selesa dan tenang.”

Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berkata: “Saya sudah lama berhasrat untuk membantu dan menyumbang kepada perjalanan kerohanian bagi para jemaah Umrah. Menyaksikan jumlah jemaah melaksanakan ibadah mereka di Mekah dan Madinah, saya berdoa agar kami mampu menjadi operator Umrah pilihan semua dan memberikan perkhidmatan terbaik dalam melaksanakan tuntutan agama.

“Tidak lama lagi, saya berharap kami dapat memperluaskan perkhidmatan bukan sahaja di Malaysia malah seluruh rantau Asean, sejajar dengan jaringan luas AirAsia dengan pakej Umrah yang mudah, efisien, mampu milik dan selesa untuk semua umat Islam.”

Dilancarkan sewaktu pandemik pada Oktober 2020, IKHLAS merupakan platform kembara dan gaya hidup patuh shariah direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah. Selain IKHLAS Umrah dan tawaran pelancongan halal dengan usahasama syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia X, IKHLAS turut memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah dan Qurban. – SM

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button