Politik

Kerajaan PN penyelamat negara Malaysia

Rakyat Malaysia seharusnya mensyukuri kerana mempunyai seorang  Perdana Menteri ke-8 yang berjiwa rakyat yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sanggup menggalas amanah demi rakyat dan negara melangkaui keluarganya sendiri.

Senator Datuk, Razali Idris berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh disifatkan sebagai pemimpin yang dianugerahkan Allah swt bagi menyelamatkan negara pada ketika krisis politik yang memuncak, krisis ekonomi yang merudum, kesejahteraan kesihatan awam yang terjejas teruk akibat tsunami pandemik COVID-19, sejak setahun yang lalu.

“Sebagai seorang pemimpin besar, pencapaian setahun lalu mengemudikan kerajaan PN menuntut satu keputusan yang sangat berani, luar biasa serta memerlukan pemikiran yang jauh ke hadapan demi rakyat dan Malaysia semata-mata.

“Adalah sangat tidak adil pelbagai pihak terutama parti politik yang acap kali mengancam, menggugut dan melakukan serangan mengejut betapa politik tidak stabil dan tiada sokongan padu dalam kalangan Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Namun, kata beliau, buktinya kerajaan PN terus bernafas dengan kepelbagaian ancaman dan desakan politik yang melampau serta politik kemaruk yang kononnya mendakwa rakyat dibiarkan berseorangan dan dipinggirkan adalah sesuatu fitnah yang tidak boleh diterima langsung.

“Jangan menganggap kerajaan PN sebagai satu kerajaan yang lemah atau tidak berwibawa sedangkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi telah dilaksanakan dalam tempoh setahun lalu yang telah memberikan banyak impak positif kepada kesejahteraan rakyat secara berfasa,” katanya.

Menurut beliau, hanya segelintir individu politik atau parti politik tertentu termasuklah parti yang ada dalam ikatan PN yang dilihat begitu rakus dan kemaruk untuk mendapatkan kuasa tanpa memperdulikan nasib rakyat, ekonomi negara serta kesihatan awam.

Sehubungan itu, kata beliau, adalah sangat wajar kerajaan PN sejak mengemudikan kerajaan setahun lalu boleh dianggap sebagai “Penyelamat” negara Malaysia kerana tidak pernah berputus asa dan sentiasa mencari jalan terbaik demi rakyat dan negara.

“Parti BERSATU bersama rakan parti politik dalam kerajaan PN tidak akan mengundur diri sehingga pandemik COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya, ekonomi negara telah dipulihkan lebih 90 peratus serta kesejahteraan rakyat kembali pulih dan terjamin.

“Inilah indikator yang jelas bagi kerajaan PN untuk terus memimpin kerajaan kerana rakyat adalah kuasa mutlak dalam menentukan siapa kerajaan selepas ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

“Pihak tertentu usahlah beria-ria mendesak untuk mengadakan PRU-15 kerana tarikh itu pasti tiba dan rakyat adalah penentu bagi nasib dan masa depan mereka dan pastinya rakyat tidak akan mengulangi kesilapan ketika mengundi pada PRU-14 yang lalu,” kata Razali.

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button