PRK

Bekas ahli UMNO sertai Warisan petanda baik – Shafie Apdal

2020
KEMASUKAN beramai-ramai bekas ahli UMNO serta ahli baharu menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) sepanjang tempoh 11 hari berkempen, memberi petanda baik kepada parti itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada Sabtu ini.

Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penyertaan kelompok itu dalam Warisan membuktikan mereka sudah mula membuka mata dengan penjelasan serta penerangan yang diberikan berhubung hala tuju kerajaan negeri demi pembangunan Sabah.

“Kemungkinan, dulu cara kita menerangkan sesuatu maklumat tidak sampai sehingga ke akar umbi, tetapi sekarang mereka sudah faham dengan penjelasan daripada jentera parti selain perubahan dibawa kerajaan dilihat sendiri dalam tempoh setahun lebih memerintah.

“Ini petanda baik, kita yakin ahli baharu ini akan memberi sokongan padu kepada parti dan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis santai rakyat bersama Ketua Menteri Sabah di Kampung Binsulok, Membakut dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, hampir 600 orang menyertai Warisan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie mahu jentera parti menyantuni semua penduduk di Parlimen Kimanis dalam tempoh berbaki beberapa hari lagi menjelang hari mengundi.

“Jentera jangan berhenti, kena sampai kepada mereka, untuk terus mendapatkan sokongan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata parti lawan sudah kehabisan modal untuk berkempen sehingga menyerang peribadi serta menyentuh isu kaum dan agama.

“Pelbagai tohmahan dan cacian terhadap parti (Warisan) tetapi kita tidak layan, kita berani menjawab…biarkan sahaja mereka,” katanya.

Sebelum ini, lebih 500 ahli UMNO keluar parti dan menyertai Warisan.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan, Datuk Karim Bujang dan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional.– BERNAMA

(Visited 145 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button