Rencah Hidup

Walaupun sibuk, Dr. Noor Hisham balas surat kanak-kanak beri gelang getah

“KEBIASAANNYA saya buat gelang getah ini untuk dipakai oleh rakan-rakan sebagai tanda persahabatan dengan mereka. Saya buat gelang getah biru ini khas untuk Doktor sebagai ucapan terima kasih atas apa yang doktor lakukan untuk rakyat Malaysia.”

Begitulah bunyi sebahagian ayat yang dikarang oleh Lara Khadijah McAfee dalam surat bertulisan tangan bertarikh 19 Mac kepada Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan Seri Budiman Kuala Terengganu itu menulis surat serta menghadiahkan gelang getah  berkenaan sebagai menghargai peranan yang dilakukan oleh Dr. Noor Hisham dalam membendung wabak Covid-19 daripada terus menjangkiti rakyat Malaysia.

Dalam surat yang ringkas itu, Lara yang membahasakan dirinya sebagari sahabat Dr. Noor Hisham mendoakan agar Ketua Pengarah Kesihatan itu kekal selamat.

Walaupun surat tersebut hanyalah dari seorang kanak-kanak namun apa yang menyentuh perasaan adalah apabila Dr. Noor Hisham dalam kesibukannya tetap membalas surat tersebut.

Dalam surat rasmi bertarikh 16 April, Dr. Hisham yang menandatangai surat tersebut sebagai ‘rakan baru kamu’ memberitahu gelang getah yang dihadiahkan Lara telah diberikan kepada cucu perempuannya.

“Terima kasih atas surat kamu dan gelang yang cantik itu. Cucu perempuan saya memakainya dan menyukainya,” kata Dr. Noor Hisham.

Dr. Noor Hisham memberitahu Lara bahawa dia bertuah kerana mempunyai pasukan yang hebat untuk membantu negara menghadapi Covid-19.

“Rakyat Malaysia seperti kamu juga telah memainkan peranan yang penting dengan kekal tinggal di dalam rumah. Jadi terus berbuat demikian dan bersama-sama, kita boleh mengalahkan virus ini,” kata Dr. Noor Hisham.

Beliau juga meminta Lara untuk tidak bimbang kerana situasi yang dialami sekarang tidak lama dan dengan pertolongan Tuhan ia akan diatasi tidak lama lagi.

“Saya harap Lara akan terus belajar dengan tekun sehingga ke menara gading. Satu hari nanti giliran kamu pula untuk membantu rakyat Malaysia. Teruskan dengan impian anda dan bekerja keras untuk menjayakannya. Dari rakan baru kamu, Dr. Noor Hisham.

-SM

(Visited 829 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button