Politik

UMNO, PH jalin kerjasama bertanding di PRN Selangor

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan parti itu akan bertanding bersama-sama Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi.

Menurutnya, rundingan antara kedua-dua pihak di peringkat negeri telah diadakan secara tidak rasmi dan setakat ini, perbincangan berlangsung dengan baik.

Beliau berkata, melalui rundingan tersebut adalah kesempatan terbaik buat UMNO untuk kembali berada dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas parti itu tewas berkuasa di Selangor sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11).

“Saya memberi kepercayaan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor yang baharu dilantik (Datuk Megat Zulkarnain Omardin) untuk meneruskan rundingan tersebut terutama berkaitan
jumlah kerusi yang akan diberikan kepada kita untuk bertanding.
.
“Ini tidak bermakna kita minta kerusi yang banyak tetapi yang ada kebolehan atau potensi untuk menang dan melalui jalinan baharu ini saya amat yakin kita akan dapat kemenangan yang besar pada PRN Selangor nanti

“Adalah amat penting ahli dan pimpinan parti di Selangor mengekalkan perpaduan dan solidariti untuk memastikan UMNO dapat bersedia sepenuhnya serta menang selesa pada PRN nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perwakilan UMNO Selangor bersama Presiden UMNO di Pacific Ballroom, Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur hari ini.

Di majlis tersebut turut dihadiri bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Megat Zulkarnain.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, Negeri Sembilan juga turut menawarkan kerjasama menghadapi PRN negeri yang dijangka berjalan serentak bagi tiga negeri terbabit.

Namun katanya, beliau belum memberikan kata putus berhubung tawaran tersebut berbanding kerjasama dengan PH di Selangor.

Beliau juga tidak dapat membayangkan jika UMNO dipilih untuk menjadi Menteri Besar di Selangor atau sekurang-kurangnya menjadi Timbalan Menteri Besar selain menduduki kerusi Exco jika menang selesa.

“Ini adalah peluang terbaik buat UMNO menang banyak kerusi DUN di Selangor dan jika ini terjadi kita akan duduk semula dalam pentadbiran kerajaan negeri setelah sekian lamanya,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau meminta Megat Zulkarnain untuk mengenal pasti calon-calon bertanding terutama di kawasan yang boleh parti itu mencapai kemenangan selesa. – SM

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button