Nasional

Anggota tentera hilang dalam Hutan Simpan Belum ditemui meninggal dunia

POLIS mengesahkan kematian anggota tentera yang ditemui maut di Hutan Simpan Belum dekat Gerik, Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib, 33, berpunca daripada kecederaan kepala dipercayai akibat terjatuh.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pengesahan itu dibuat selepas proses bedah siasat dijalankan pada mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Hasil bedah siasat yang telah dijalankan oleh pihak hospital mengesahkan mayat tersebut merupakan milik koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib, dan punca kematian adalah disebabkan kecederaan kepala yang konsisten dengan jatuh.

“Jenazah kemudian telah diserahkan kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Polis Perak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan mayat seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum telah ditemukan pada 10.15 pagi.

Sebelum itu, polis telah menerima laporan kehilangan melibatkan seorang anggota tentera dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang pada 12.50 tengah malam, Ahad.

Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian kehilangan berlaku semasa mangsa bersama lima anggota lain menjalankan operasi di kawasan penugasan pada jam 5 petang, Jumaat lalu.

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button