MahkamahNasional

Tukang sapu warga Myanmar didakwa cabul warga emas

SEORANG lelaki warga Myanmar yang videonya tular kerana mencabul seorang wanita warga emas yang sedang mengutip kotak di hadapan sebuah lot kedai di Taman Muda, Ampang minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.

Mohammad Jubair Musi Ullah, 23, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai tukang sapu itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 71 tahun itu untuk mencabul kehormatannya pada jam 3.30 petang, 2 Ogos lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memasukkan dadah jenis ketamin ke dalam badannya di tandas Pejabat Narkotik Ampang Jaya, Hulu Langat, pada tarikh sama (2 Ogos).

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani memohon kepada mahkamah supaya tidak menawarkan sebarang jaminan dan mahkamah kemudian menetapkan 23 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pada 4 Ogos lalu, tular satu video berdurasi 26 saat di media sosial menunjukkan seorang lelaki warga asing mencabul warga emas yang sedang mengutip kotak di hadapan sebuah lot kedai di Taman Muda Ampang.

Ketua Polis Ampang Jaya, ACP Mohd Azam dalam kenyataannya selepas insiden itu memaklumkan, suspek mempunyai dua rekod lampau jenayah dadah telah diberkas polis pada hari sama selepas ditahan oleh orang awam yang memberikan bantuan kepada mangsa itu. – SM

BACA Nasib malang nelayan warga emas dibaham buaya

BACA Lelaki warga emas ditahan pukul ibu berusia 90 tahun

(Visited 40 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button