BeritaPendidikan

Pengiktirafan Penuh LPQB: Sampai bila USIM harus menunggu?

Oleh Hasyir Afham

TERDAPAT beberapa sekolah undang-undang di Malaysia, baik dari Universiti Awam mahupun Universiti Swasta. Kemasukan calon pelajar ke sekolah undang-undang adalah sulit kerana syarat-syarat kelayakan yang ketat.

Sejak kemerdekaan pada 1957, banyak sekolah undang-undang di pelbagai universiti, terutama di Malaysia telah menghasilkan hakim-hakim yang bijaksana, peguam-peguam dan pegawai-pegawai undang-undang hebat serta ahli akademik yang unggul.

Akan tetapi, bagi graduan undang-undang untuk layak menjalani latihan dalam kamar dan seterusnya menjadi peguambela dan peguamcara sebaik sahaja habis pengajian diperingkat sarjana muda, sekolah-sekolah undang-undang mestilah terlebih dahulu mendapat akreditasi dan pengiktirafan penuh oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LKPU/LPQB).

Daripada sejumlah sekolah undang-undang di Malaysia, hanya satu sahaja daripada UA yang belum lagi diiktiraf secara sepenuhnya oleh LKPU, iaitu Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

FSU telah ditubuhkan dengan tujuan menghasilkan graduan undang-undang yang mahir dalam kedua-dua bidang Syariah dan Undang-undang sivil bagi tempoh 5 tahun pengajian di FSU. Graduan sulung daripada FSU telah bergraduasi pada tahun 2010.

Ini bermaksud, graduan undang-undang dari FSU tidak layak menjalani latihan dalam kamar sejurus selepas mereka selesai pengajian sarjana muda sehingga program undang-undang yang ditawarkan oleh USIM telah diiktraf LKPU. Graduan FSU, walaubagaimanapun, boleh menyertai pasaran pekerjaan dengan menggunakan ijazah mereka di pelbagai sektor di luar amalan guaman sivil.

Isu Pengiktirafan

USIM telah bekerja keras untuk mendapatkan pengiktirafan LKPU lebih daripada satu dekad, dengan banyak sumber daya manusia dan kewangan telah digerakkan untuk mencapai misi ini. Pengiktirafan LKPU hanya boleh dibuat setelah sekolah undang-undang seperti FSU ditubuhkan.

Dalam menempuhi lawatan LKPU pada 2013, FSU telah memperkukuhkan keupayaan tenaga pengajarnya dengan memastikan kebanyakan staf akademiknya adalah pemegang PhD daripada pelbagai bidang, baik daripada sudut undang-undang tempatan mahupun undang-undang antarabangsa.

Dalam pada itu, pihak fakulti telah melantik beberapa pengamal dan bekas pengamal undang-undang (peguam) untuk mengajar di fakulti. Ini termasuklah pengamal dan ahli akademik undang-undang terkemuka dalam dan luar negara sebagai Profesor Adjung dan Profesor Pelawat di FSU, sebagai contoh, mantan Ketua Hakim Negara Malaysia, Tun Zaki Tun Azmi.

FSU juga telah meletakkan kepentingan yang sama tinggi kepada tahap penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara untuk pelajar-pelajar yang ingin mengikuti kursus undang-undang di Fakulti ini, sama seperti di sekolah undang-undang yang lain di Malaysia.

Kunjungan Pertama LKPU 2013

Pihak LKPU telah melawat FSU pada 2013 dan mereka mengambil masa yang sungguh lama, iaitu setahun setengah untuk mengeluarkan laporan bahawa pihak LKPU tidak berkeinginan memberikan pengiktirafan, mahupun ‘pengiktirafan separa’ kepada FSU.

Tempoh masa yang begitu lama – setahun setengah – telah menyebabkan ramai pelajar terpaksa menunggu dan mengakibatkan ketidakadilan bukan sahaja kepada fakulti, malah kepada para pemegang taruh iaitu pelajar serta ibu bapa pelajar bagi laporan tersebut dikeluarkan.

Persoalan utama yang perlu dipertanyakan – bagaimanakah LKPU yang berprestij ini yang dianggotai ahli-ahli yang sangat berpengetahuan dalam undang-undang yang berpegang teguh kepada pepatah perundangan ‘Keadilan yang ditangguhkan adalah Keadilan yang dinafikan’ sangat perlahan dalam mengeluarkan laporan mengenai pengiktirafan program undang-undang USIM?

Antara sebab kenapa LKPU tidak mahu memberikan pengiktirafan adalah atas sebab FSU tidak bersedia memberikan pendidikan undang-undang berkualiti. Namun, pihak LKPU tidak menafikan kebolehan para pelajar USIM dalam menjalani pengajian undang-undang di FSU.

Berdasarkan laporan oleh LKPU ini, terdapat kejanggalan yang jelas. Mana mungkin para pelajar USIM berkebolehan dalam menjalani pengajian undang-undang di FSU sedangkan FSU tidak bersedia memberikan pendidikan undang-undang berkualiti?

Kunjungan 2017

Pihak LKPU sekali lagi berkunjung ke USIM pada Mac 2017, empat tahun selepas lawatan pertamanya. Dalam waktu ini, FSU telah memperkukuhkan program undang-undangnya dengan didukung oleh tenaga pengajar berkelayakan bukan sahaja berkelulusan PhD dari dalam mahupun luar negara. Malah, pada masa yang sama, peguambela dan peguamcara yang sedang atau pernah beramal juga turut menyumbang ilmu mengajar di FSU.

Seperti sebelumnya, pihak LKPU mengambil masa yang sangat lama untuk mengeluarkan keputusannya – iaitu setahun dua bulan selepas lawatan dibuat. Alasan untuk kelewatan ini mungkin menggambarkan tahap keseriusan LKPU yang agak rendah dalam isu pengiktrafan program undang-undang USIM.

LKPU membuat keputusan untuk tidak memberikan pengiktrafan penuh kepada graduan FSU dan mereka perlu menduduki Sijil Amalan Guaman (CLP) sebelum diakui sebagai ‘orang berkelayakan’.

Tempoh masa yang lama ini bukan sahaja menimbulkan ketidakadilan malah telah memangsakan para pelajar serta graduan FSU.

Kursus 4 Bulan

Dalam usaha ke arah pengiktirafan penuh, pihak LKPU telah menyarankan graduan yang tamat belajar pada tahun 2016 dan 2017 untuk menduduki Kursus 4 Bulan mempelajari subjek-subjek CLP. Kursus ini telah bermula dari Ogos 2019 sehingga Januari 2020 pada hujung minggu dimana kehadiran para pelajar adalah wajib.

Perlu diingatkan bahawa para peserta kursus ini bukan lagi pelajar dan mereka kebanyakannya telah berpindah balik ke kampung halaman masing-masing di merata tempat dalam negara. Sesetengah daripada mereka telah mendirikan rumah tangga dan banyak yang telah mula bekerja.

Mereka yang bekerja pada hari minggu perlu mendapatkan keizinan untuk hadir ke kursus ini daripada majikan mereka dan berkelana beratus kilometer ke Nilai dimana USIM terletak setiap minggu. Ada yang menaiki bas, ada yang menunggang motosikal, bahkan sehingga ada yang terpaksa mengikat perut demi menyimpan wang bagi tujuan perjalanan ini.

Kursus 4 bulan ini, walaupun dianjurkan oleh LKPU tetapi telah dijalankan sepenuhnya oleh FSU. Ia berakhir Januari 2020 dan sepatutnya diikuti oleh peperiksaan serta kunjungan LKPU yang ketiga sepatutnya dijadualkan pada Mac 2020 lalu.

Para peserta kursus 4 bulan ini juga dikejutkan dengan pelbagai episod di mana ‘tiang gol dipindahkan sesuka hati’. Sebagai contoh, markah penilaian yang pada asalnya dikatakan akan diuji secara berkumpulan ditukarkan kepada penilaian individu pada saat-saat terakhir yang pada awalnya tidak diterangkan dengan jelas oleh pihak LPQB.

Selain itu, pihak LPQB juga tidak mengumumkan tentang kehadiran minima untuk kursus tersebut, sebagai contoh 80% kehadiran atau sebagainya kepada para peserta sebelum kursus bermula.

Malangya, Covid-19 yang telah menjadi wabak di Malaysia dan telah menyebabkan peperiksaan dan kunjungan yang dijadualkan tersebut ditunda bagi memenuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula 18 Mac 2020.

Menjelang Mei 2020, Malaysia telah berjaya mengawal penularan Covid-19 dan kerajaan telah memberikan keringanan kepada rakyat menerusi PKP Bersyarat dan sekarang PKP Pemulihan. Rakyat sekarang boleh menganjurkan mesyuarat secara bersemuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti.

Pun begitu, LKPU masih berdiam diri dalam mengumumkan tarikh sebenar peperiksaan yang dijadualkan untuk para peserta yang telah menduduki kursus 4 bulan tersebut. Seperti berlalunya beberapa bulan selepas tamat kursus 4 bulan ini, begitu jugalah apa yang telah dipelajari oleh para pelajar yang telah menduduki kursus ini jika peperiksaan tidak diambil dalam waktu terdekat.

Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki jaringan dan liputan internet yang baik terutamanya di kawasan bandar. Sekiranya LKPU berpendapat bahawa lawatan bersemuka tidak sesuai kerana wabak Covid-19, pihaknya boleh mempertimbangkan untuk mengadakan lawatan secara atas talian secara alternatif.

Adalah tidak adil untuk membiarkan pelajar dan para graduan untuk berterusan menunggu setelah digantung tak bertali lebih dari 10 tahun.

Sampai Bila?

LKPU dianggotai oleh ahli-ahli dari pelbagai bidang undang-undang. Majlis Peguam adalah salah satu daripadanya. Majlis Peguam sering memperjuangkan hak asasi manusia serta membuat riuh apabila terdapat isu diskriminasi atau ketidakadilan terhadap mana-mana ahli dalam masyarakat, termasuk golongan minoriti, pendatang asing tanpa izin dan individu tidak bernegara.

Bagaimana pula dengan hak anak jati negara ini terutama sekali pelajar-pelajar Melayu/ Bumiputra dan Islam yang merupakan graduan undang-undang dari universiti tempatan yang berkeinginan menyertai amalan guaman sivil? Bukankah ini sebahagian dari hak asasi mereka sebagai manusia dan rakyat bumi pertiwi ini?

Bayangkan berapa banyak anak-anak Malaysia berkelulusan dari FSU USIM yang tidak dapat menjadi ‘orang berkelayakan’ di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976 selama lebih satu dekad ini. Ini juga merupakan satu pembaziran sumber manusia serta pembiayaan oleh pemerintah kerana terdapat pelajar-pelajar yang ditaja oleh pihak kerajaan melalui biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Sekiranya LKPU benar-benar berhasrat untuk membantu dalam proses pengiktirafan, ia perlu meletakkan keutamaan di tempat yang betul dan mempercepat proses pengiktirafan dan bukan melambatkannya.

Fakulti telah menepati kesemua arahan demi arahan pihak LKPU yang seperti tiada penghujungnya. Maka, sampai bila lagi graduan harus menunggu?

Perlu diingat – keadilan yang ditangguh adalah keadilan yang dinafikan. – SM

(Visited 898 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button