Parlimen

Darurat: Takiyuddin tidak goyah desakan pembangkang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak goyah dengan desakan bertalu-talu ahli parlimen pembangkang berkaitan pembatalan Ordinan Darurat.

Walaupun didesak bertalu-talu oleh sekumpulan ahli parlimen pembangkang, Takiyuddin tetap dengan pendirian untuk menjelaskan pembatalan Ordinan Darurat Isnin depan.

“Kita di dalam Dewan ini ada peraturan. Speaker, perdana menteri, ketua pembangkang, semua orang tertakluk kepada peraturan.

“Antara yang ada dalam peraturan ini adalah petua daripada Yang Dipertua. Saya tertakluk kepada petua Yang Dipertua semalam yang meminta saya beri penjelasan pada Isnin.

“Itu petua sekarang ini. Bukan saya lari. Hari isnin, takkan lari,” katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Dalam Mesyuarat Khas Parlimen Penggal Ke-14 di Dewan Rakyat semalam Takiyuddin memberitahu bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai lepas.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempengerusikan sidang berkenaan terpaksa meninggikan suara kepada ahli parlimen pembangkang yang terus mendesak supaya menteri menjawab.

Azalina berkata, beliau tidak akan membatalkan peraturan yang telah dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun yang membuat keputusan supaya Takiyuddin menjawab pada Isnin depan.

“Saya telah membuat keputusan, pukul 11 Yang Dipertua masuk. Yang berhormat nak bawa isu ini kepada Yang Dipertua terpulang. Saya tak akan membatalkan keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertua.

“Yang berhormat tolonglah, saya sudah buat keputusan. Duduklah. Yang berhormat tidak boleh paksa saya,” tegas Azalina.-SM

 

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button