NasionalNegeri

Askar Wataniah Bukit Keteri ke demonstrasi Latihan Kuasa Tembakan

SEBANYAK 8 pegawai dan 72 anggota Lain-Lain Pangkat Sukarela Askar Wataniah dari Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia, Kem Bukit Keteri Perlis telah terlibat dalam lawatan untuk menyaksikan demonstrasi Latihan Kuasa Tembakan di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Sesi lawatan bermula di Muzium Tentera Darat di Port Dickson bagi memberi pendedahan kepada semua pegawai dan anggota sukarela mengenai sejarah Tentera Darat yang bermula dari zaman pra kemerdekaan sehinggalah sekarang.

Lawatan seterusnya ke Bandaraya Bersejarah Melaka iaitu Kota A Famosa, Muzium Samudera (Flor de La Mar) dan Menara Taming Sari.

Tujuan lawatan bagi memberi gambaran tentang peranan Malaysia menerusi sejarahnya sebagai pusat perdagangan semasa Kesultanan Melayu Melaka dan perkembangan kegiatan maritim serantau sepanjang zaman kesultanan tersebut serta penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun di Tanah Melayu.

Kemuncak bagi lawatan sempena Latihan Kem Tahunan ini di mana delegasi sukarela rejimen tersebut telah mengiringi Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Komander Rejimen ke Latihan Kuasa Tembakan 2023 bersama-sama para pegawai dan anggota lain-lain pangkat tetap termasuklah Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji serta beberapa orang Ahli Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah dari rejimen ini.

Turut hadir adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima 3 Divisyen, Mej Jen Rashidin Hashimi Ab Rashid, pegawai kanan dan wakil dari semua formasi yang terlibat.

Latihan ini merupakan pendekatan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan kesiagaan ATM berada pada tahap tertinggi demi mempertahankan kedaulatan negara tercinta.

Demonstrasi Latihan Kuasa Tembakan merupakan acara tahunan yang mempamerkan keupayaan ketumbukan Combine Arms Angkatan Tentera Malaysia.

Pada demostrasi ini ia melibatkan tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). – SM

(Visited 723 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button