Nasional

Penjaga stor mengaku tidak bersalah beri sokongan kepada LTTE

SEORANG penjaga stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, Januari tahun lepas.

S. Thanagaraj, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan Facebook atas nama ‘Tamilarasan Sivam’ di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di sini, pada 10 pagi 11 Jan 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 21, 22, 23, 28 dan 29 Sept ini untuk perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Shahruddin manakala tertuduh diwakili peguam R. T. Rajasekaran.

Mahkamah juga menetapkan 28 Feb untuk sebutan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaren.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman memberitahu bahawa pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pihak pembelaan bagi tujuan perbicaraan.

Pada 9 Jan lepas, Gunasekaren mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama Taman Ayer Keroh Heights, Melaka Tengah, Melaka, pada 8.30 malam 28 Nov 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

(Visited 235 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button