Nasional

Dua dasar baharu pacu sektor pelancongan, kebudayaan

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan melancarkan dua dasar baharu, Dasar Pelancongan Negara (DPN2030) dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKN) pada tahun ini untuk memacu sektor pelancongan dan kebudayaan.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata kedua-dua dasar itu, yang selari dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, masih dalam proses dimuktamadkan sebelum dilancarkan.

“Jika segalanya berjalan lancar seperti diatur, DPN2030 akan dilancarkan dalam masa terdekat ini, manakala DKN akan dilancar selewat-lewatnya dalam tempoh suku pertama tahun ini,” katanya dalam ucapan perhimpunan bulanan MOTAC di sini hari ini.

Mohamaddin berkata DPN2030 memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan negara, menggalakkan kerjasama dan pelaburan, memperkasa masyarakat setempat dan mengukuhkan daya tahan industri pelancongan.

Ia akan dilaksanakan melalui enam teras utama iaitu transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan, digitalisasi pelancongan, meningkatkan pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari serta meningkatkan kapasiti modal insan, katanya.

DKN pula merupakan satu gagasan jangka panjang kemakmuran bersama yang mengambil kira keterangkuman budaya pelbagai etnik di Malaysia.

Ia menampilkan identiti kebangsaan melalui tujuh teras utama iaitu budaya nilai tinggi, keharmonian masyarakat, kelestarian warisan budaya, kecemerlangan budaya, pembangunan dan pengembangan budaya, pemerkasaan budaya dan penjanaan ekonomi, katanya.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata tahun 2020 adalah penting khususnya kepada MOTAC kerana Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) merupakan misi nasional yang ditetapkan kerajaan untuk menarik kehadiran 30 juta pelancong asing dengan sasaran perbelanjaan pelancong RM100 bilion.

Dalam hal itu, katanya persefahaman dan kerjasama dengan pemain industri pelancongan dalam negara adalah penting bagi membangunkan industri pelancongan berasaskan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025.

“Sepanjang tahun, para pelancong yang berkunjung ke negara ini dapat menyaksikan keunikan dan keindahan ekopelancongan seperti hutan hujan, gunung-ganang, pulau dan pantai. Para pelancong juga berpeluang untuk melihat dan merasai secara interaktif keunikan pelbagai seni, budaya dan warisan negara,” katanya.

Mohamaddin berkata tahun 2020 juga Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Persidangan Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020, Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC 2020) dan termasuk 100 acara melibatkan negeri-negeri di seluruh negara sempena VM2020.

Mengenai pencapaian kementerian pada 2019, Mohamaddin berkata di bawah Petunjuk Prestasi Utama Menteri (MPI) 2019, MOTAC berjaya melaksanakan hampir kesemua aktiviti teras dalam Sektor Pemerkasaan Pelancongan dan Sektor Pemerkasaan Kebudayaan dengan peratus yang membanggakan setanding dengan kementerian yang lain.

“Bagi tempoh Januari hingga September tahun lalu, kami berjaya mencatatkan peningkatan ketibaan pelancong ke Malaysia sebanyak 3.7 peratus kepada 20.11 juta orang berbanding 19.39 juta orang bagi tempoh yang sama pada 2018 serta meningkatkan perbelanjaan pelancong asing bagi tempoh sama pada tahun lalu sebanyak 6.9 peratus iaitu RM66.14 bilion berbanding RM61.85 bilion bagi tempoh sama pada 2018,” katanya.

Mohamaddin berkata antara kejayaan yang dicapai pada 2019 ialah silat diiktiraf Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan budaya tidak ketara kemanusiaan iaitu di bawah kategori Representative List of the Intangle Cultural Heritage of Humanity.

Menurutnya, Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran (PhD) kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali atas jasa dan sumbangan mereka membantu membangunkan bidang kesenian, kebudayaan dan warisan negara.

Di samping itu, katanya Majlis Kraf Dunia (WCC) sempena Anugerah Kraf Antarabangsa Ketiga telah menganugerahkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Ikon Kraf 2019 atas sumbangan Seri Paduka dalam mengekalkan warisan kraf tradisional negara. – BERNAMA

(Visited 250 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button