Luar Negara

Pemimpin parti pembangkang utama Jepun tidak hadir pengebumian Shinzo Abe!

Upacara pengebumian bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, yang mati dibunuh, bermula hari ini dalam keadaan tegang susulan percanggahan pendapat dalam kalangan rakyat negara itu.

Balu mendiang Abe, Akie Abe, yang mengenakan kimono rasmi berwarna hitam berjalan perlahan dalam dewan Budokan sambil membawa kotak kayu yang dibalut dengan kain ungu berjalur emas mengandungi abu mayat suaminya.

Tentera pertahanan yang berpakaian seragam putih mengambil abu mayat Abe lalu meletakkannya di atas alas dipenuhi hiasan serta bunga kekwa putih dan kuning.

Wakil kerajaan, Parlimen dan badan kehakiman termasuk Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, akan menyampaikan ucapan takziah diikuti Akie Abe.

Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris adalah antara puluhan kenamaan asing dan 4,300 hadirin, duduk di barisan ketiga bersebelahan dengan Duta AS ke Jepun, Rahm Emanuel.

Mayat Abe dibakar pada Julai lalu selepas upacara peribadi di sebuah kuil di Tokyo, beberapa hari selepas beliau dibunuh ketika memberi ucapan kempen di jalanan dekat Nara, sebuah bandar di barat Jepun.

Menurut Kishida, pemimpin politik paling lama berkhidmat itu berhak untuk menerima upacara pengebumian penuh penghormatan negara.

Bagaimanapun, keputusan tidak demokratik itu untuk memberikan penghormatan yang disamakan dengan golongan diraja, ditambah pula faktor kos dan kontroversi Abe dengan Unification Church, mengundang kritikan umum.

Susulan upacara itu, Tokyo diletakkan di bawah kawalan keselamatan maksimum, dengan penunjuk perasaan yang berang membantah upacara pengebumian berkenaan.

Beberapa jam sebelum upacara, ratusan orang membawa jambangan bunga beratur di tempat meletakkan bunga di Taman Kudanzaka yang berhampiran, dengan barisan hadirin mencecah beberapa blok panjangnya.

Kerajaan memaklumkan bahawa upacara itu bukan bertujuan untuk memaksa sesiapa memberi penghormatan kepada Abe.

Pemimpin parti pembangkang utama negara itu tidak menghadiri upacara berkenaan yang dikatakan pengkritik sebagai satu peringatan, kononnya bagaimana kerajaan imperialis sebelum perang menggunakan upacara pengebumian negara untuk menyemarakkan nasionalisme.

Bagi sesetengah pihak pula, upacara pengebumian itu adalah strategi Kishida untuk ‘diplomasi pengebumian’, dengan mengadakan pertemuan dengan pemimpin asing yang hadir.

Strategi itu dilihat sebagai langkah mengukuhkan hubungan ketika Jepun menghadapi cabaran serantau dan global termasuk ancaman dari China, Russia dan Korea Utara.

Kishida dijangka bertemu 40 pemimpin asing, namun tiada pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7) hadir.

Abe dan parti pemerintah sebelum ini mempunyai hubungan rapat selama beberapa dekad dengan Unification Church, pertubuhan ultra konservatif yang dituduh mengaut derma besar dengan mempengaruhi pengikutnya.

Suspek yang didakwa membunuh Abe dilaporkan memberitahu polis bahawa beliau membunuh ahli politik itu kerana kaitannya dengan gereja terbabit.

Dia mendakwa Unification Church mempengaruhi ibunya menyalurkan semua wang keluarga sebagai derma sehingga menghancurkan kehidupannya.

Datuk Abe iaitu bekas Perdana Menteri, Nobusuke Kishi, adalah antara pemimpin terawal membantu gereja itu bertapak di Jepun dan dilihat sebagai tokoh penting dalam skandal berkenaan. – AP

 

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button