Ekonomi

Al Haddad labur RM7 juta bina kilang baharu di Sungai Petani

AL HADDAD Manufacturing Sdn. Bhd. (Al Haddad Manufacturing) bakal membangunkan sebuah kompleks sehenti di Sungai Petani, Kedah yang akan menempatkan kilang pengeluaran baharunya, pejabat pentadbiran, galeri dan pusat jualan produk keluaran syarikat.

Pengarah Urusannya, Syed Salahuddin Syed Mahayadin berkata, kompleks bercirikan keislaman dengan mengambil konsep senibina Alhambra yang terkenal di Sepanyol itu bakal menjadi satu lagi mercu pembangunan kilang milik bumiputera di Utara tanah air.

Menurut beliau, ia bukan sahaja menjadi pusat pengurusan dan pengeluaran syarikat tetapi boleh dijadikan sebagai destinasi pelancongan untuk menarik minat pelancong luar melawat galeri yang mempamerkan pelbagai produk keluaran syarikat.

Al Haddad Manufacturing merupakan pengeluar produk minuman halal yang telah memulakan operasi perniagaannya pada tahun 2014 di tapak asalnya di Kedah Halal Park Fasa 2, Kawasan Perindustrian Sungai Petani.

Antara produk utama keluarannya ialah Tamar Cocoa, Malt-Iq, Tamar Arabica Coffee, Tamar Teh Hijau Latte dan Tamar Teh Tarik.

“Kami melabur kira-kira RM7 juta untuk pembelian tanah dan pembangunan kompleks kilang ini yang terletak dalam kawasan seluas lebih daripada 0.4 hektar.

“Kilang ini akan mula beroperasi pada akhir tahun 2021 dan kami menjangkakan, syarikat bakal mengeluarkan antara dua hingga tiga produk baru setahun.

“Antara perancangan kami ialah mengeluarkan produk Ready To Drink (RTD) untuk Tamar Cocoa, Tamar Teh Tarik dan Tamar Arabica Coffee,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis majlis pecah tanah kilang baharu itu yang disempurnakan oleh Penasihat Kumpulan Al Haddad, Datuk Syed Mohd. Mahayadin Anuar Syed Akil.

Turut hadir Pengarah Al Haddad, Syed Ageel Syed Mohd. Mahayadin.

Syed Salahuddin menjelaskan, melalui pembinaan kilang baharu itu, syarikat berkeupayaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 50 tan sebulan berbanding kira-kira 10 tan pengeluaran di kilang sedia adanya.

Perolehan jualan juga dijangka bertambah kepada RM10 juta sebulan berbanding sekitar RM3 hingga RM5 juta sebulan.

“Ini disumbangkan daripada pertambahan pengeluaran produk dikilang baharu ini dan juga inisiatif kami mengeksport produk ke luar negara juga akan meningkat.

“Pasaran sedia ada kami ialah China, Thailand dan Indonesia tetapi kini ia bakal diperluaskan kepada rantau Balkan, Timur Tengah dan juga ke Afrika,” jelasnya.

Tambah beliau, ini dapat dilihat daripada sambutan maklum balas yang diperoleh daripada penyertaan syarikat menyertai ekspo dan pameran, Gulf Food 2020 di Dubai World Trade Centre baru-baru ini.

“Kami menerima kira-kira 30 pertanyaan dan permintaan daripada pelabur luar berhubung produk keluaran kami, ini satu petanda baik buat kami untuk melebarkan penguasaan pasaran ke pasaran antarabangsa,” jelasnya.  – SM

(Visited 1,062 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button