PRK

Jentera Warisan diingat berhemah, tawan hati pengundi atas pagar – Jaujan

TIMBALAN Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Jaujan Sambakong mengingatkan jentera parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis supaya sentiasa berhemah sepanjang berkempen serta tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.

Pada masa sama, Jaujan yang juga Pengarah Jentera Warisan bagi PRK Kimanis mahu jentera kempen Warisan memainkan peranan penting dalam menawan hati penduduk terutama pengundi atas pagar bagi memastikan golongan itu memilih calon Warisan pada hari pengundian 18 Jan ini.

Ia termasuk menjelaskan aspirasi yang ingin dibawa oleh calon Warisan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan Parlimen Kimanis pada pilihan raya kecil berkenaan.

“Tidak dinafikan masih terdapat pengundi atas pagar, sebab itu saya ingin mengingatkan jentera kempen Warisan supaya sentiasa berhemah selain menawarkan kebaikan yang ingin dibawa sekiranya (Warisan) menang pilihan raya kecil ini,” katanya selepas melancarkan Program Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Bersama Komuniti bertemakan ‘Komuniti Ku Sayang’ dan PBT Hijau di Pekan Bongawan, dekat sini, hari ini.

Mengulas mengenai jentera Warisan setakat ini, Jaujan berkata gerak kerja jentera parti itu berjalan lancar, selain kempen mereka turut mendapat sokongan daripada rakan sekutu Warisan di Sabah melibatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan, Ketua Bahagian Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang, 67, dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis .

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Jan, manakala pengundian awal pada 14 Jan. – BERNAMA

(Visited 241 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button