Nasionalpilihan

Malaysia, Jepun perkukuh kerjasama dalam sektor pembinaan

Malaysia dan Jepun bertekad memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam sektor teknologi dan digitalisasi pembinaan, infrastruktur jalan, pengurusan bencana dan cerun.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kedua-dua negara juga berhasrat memperkukuhkan kerjasama mengenai perkongsian maklumat dalam pengurusan dan penyelenggaraan lebuh raya, cerun serta pertukaran tenaga kepakaran dan teknikal.
Nanta berkata komitmen itu dizahirkan semasa pertemuan beliau dengan Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun Kokuba Konosuke di Tokyo pada Rabu.
“Pertemuan ini menjadi kesinambungan hubungan baik antara Malaysia dan Jepun yang telah dimeterai sejak 65 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata komitmen memperkukuh kerjasama antara Malaysia dengan Jepun selaras dengan tema Dasar Pembinaan Negara 2030 iaitu Pendigitalan Sektor Pembinaan Negara.
“Dalam hal ini saya yakin Malaysia dapat memanfaatkan kepakaran teknologi Jepun dalam sektor pembinaan dan infrastruktur.
“Perbincangan turut tertumpu kepada potensi kerjasama yang boleh diteroka oleh Malaysia dan Jepun dalam sektor pembinaan selain bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut dalam aspek teknikal di peringkat pegawai kedua-dua pihak,” katanya.
Nanta juga berkata Jepun bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan serta jemputan menyertai program antarabangsa anjuran agensi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang akan diadakan tahun ini.
Katanya dua program yang akan dilaksanakan adalah Highway Concession Conference pada 24 – 25 Sept dan International Construction Week pada November depan.
“Saya berharap pertemuan empat mata ini akan memberi hasil positif dengan dimuktamadkan menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dihasratkan untuk dimeterai pada suku kedua 2024 dan seterusnya pada program Kementerian Kerja Raya sempena Ekspo Dunia Osaka 2025,” jelasnya. – SM
(Visited 12 times, 12 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button