Analisis

Tengku Zafrul kena “game” kerusi Dusun Tua sepatutnya untuk beliau

KUALA LUMPUR: Ketiadaan nama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor didakwa berpunca daripada permainan kuasa dalam UMNO.

Dakwa Khairy Jamaludin dalam podcast Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Ahad, ketiadaan nama Tengku Zafrul menjawab teka-teki selama ini mengenai kedudukan Menteri MITI itu dalam arena politik di Selangor.

“Saya nampak kenyataan dia tepat, dia nak tolong calon UMNO dan Barisan Nasional (BN). Tapi apa saya dengar sebalik tabir adalah permainan kuasa telah berlaku.

“Saya difahamkan beliau tidak terlibat, tidak dilibatkan langsung dan hanya tahu bila benda itu (nama calon) diumumkan. (Beliau) Bendahari UMNO Selangor dan dia Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, ini maklumat saya dengar,” jelasnya.

Dakwa Khairy lagi, DAP telah mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua untuk memberi laluan kepada Tengku Zafrul, namun berlaku sebaliknya.

“Saya difahamkan DAP telah mengosongkan satu kerusi mereka DUN Dusun Tua. DAP telah kosongkan kerusi tersebut dan nak serah kerusi tersebut kepada BN, dengan syarat Dusun Tua diberikan kepada UMNO sebab nak bagi laluan kepada Tengku Zafrul.

“Tapi selekoh terakhir Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat telah cilok masuk kerusi tersebut. Ini permainan kuasa sedang berlaku di UMNO Selangor, kita tengok pengumuman calon-calon dari parti lain,” katanya lagi.

Terdahulu dalam pengumuman calon Barisan Nasional (BN) pada 21 Julai lalu, nama Tengku Zafrul tidak tersenarai sebagai calon PRN Selangor.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul ketika ditemui media akur dan menyerahkan kebijaksanaan pucuk pimpinan parti itu untuk menentukan strategi terbaik memenangi pilihan raya.

Tiba-tiba sahaja Tengku Zafrul digesa melepaskan jawatan sebagai Bendahari UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor setelah tidak tersenarai .

Gesaan itu dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin yang berkata, tidak wajar Tengku Zafrul terus memegang jawatan utama parti sedangkan telah disisihkan daripada keputusan penting.

Dakwanya, Tengku Zafrul juga tidak dilibatkan dalam rundingan kerusi dan strategi parti di peringkat negeri.

“Pemuda UMNO Kota Raja berharap Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Zafrul dapat melepaskan jawatan Bendahari UMNO dan BN Selangor.

“Memegang jawatan tetapi disisihkan daripada keputusan penting menunjukkan pelantikan sebagai bendahari sekadar kosmetik semata-mata tanpa tanggungjawab yang signifikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Zaffarollah berkata, walaupun kecewa Tengku Zafrul tidak dicalonkan pihaknya akan membantu Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi kerusi di kawasan itu.

“Walaupun kecewa dengan keputusan parti tidak mencalonkan Tengku Zafrul dalam PRN kali ini, kami di Pemuda UMNO akan tetap membantu calon-calon PH yang bertanding di Kota Raja,” katanya.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akur apabila nama beliau tidak tersenarai sebagai calon dalam PRN Selangor.

Sebelum ini juga tersebar desas-desus bahawa Tengku Zafrul akan dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu selepas PRN.

Siapakah yang ampunya permainan, tentulah pihak atasan iaitu kepresidenan parti UMNO dan parti gabungan yang lain yang mempunyai rancangan lain.

(Visited 642 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button