AgamaNasional

Isu kalimah Allah melibatkan akidah umat Islam

ISU kalimah Allah bukan sahaja melibatkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keselamatan sebaliknya ia lebih ke arah akidah umat Islam dan pentadbiran agama Islam yang terletak di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu di setiap negeri, kata Tan Sri Noh Omar.

Sebagai bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) pada tahun 2004, Noh menyatakan pendiriannya menyokong kenyataan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan Persekutuan menarik balik kes rayuan kalimah Allah kepada Mahkamah Rayuan.

AMAT mudah memesongkan akidah umat Islam menerusi perkara yang mengelirukan, termasuk isu kalimah Allah yang kini menjadi perdebatan umat Islam di Malaysia.

“Sesungguhnya isu ini bukan sahaja berkaitan dengan isu pentadbiran, istilah dan keselamatan tetapi ia juga melibatkan akidah orang Islam serta pentadbiran Agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu di setiap negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada tahun 2005 ketika menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri KKDN dan KSU KKDN ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, Pengerusi MAIS sekarang, mereka telah dimaklumkan oleh Pegawai KKDN bahawa ada satu kontena dari Indonesia yang mengandungi Kitab Injil (Bible) yang menggunakan perkataan kalimah Allah yang di tulis dalam Bahasa Indonesia berada di Pelabuhan Klang.

“Saya telah mengarahkan agar kontena tersebut tidak dibenarkan masuk kedalam negara kita,” kata beliau dalam kenyataan yang sama.

Noh berkata, beliau merasakan ini mungkin merupakan satu perancangan yang dirancang oleh pihak tertentu untuk mengimport bahan bacaan yang berbentuk dakwah bagi sesuatu agama yang tertentu yang boleh mengelirukan akidah umat Islam.

Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, pada ketika itu, Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah satu kerajaan yang kuat dan mempunyai sokongan 198 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat (Parlimen) iaitu sokongan lebih 2/3 (dua per tiga)  maka tiada mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan tersebut.

“Sesungguhnya juga, saya menyokong kenyataan MAIS bahawa isu ini seharusnya dibawa ke pengadilan di Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah adalah tempat terbaik untuk mencari jalan penyelesaian mengenai Isu Kalimah Allah ini dan sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) (Kerajaan Persekutuan) maka Kerajaan Madani boleh meminda undang-undang yang sedia ada agar perkataan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat hanya boleh digunakan oleh orang-orang Islam sahaja atau membuat undang-undang baharu yang mempunyai maksud yang sama.

“Walau pun undang-undang tersebut berkemungkinan hanya terpakai di Wilayah Persekutuan tetapi ia boleh dijadikan panduan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk meminda atau membuat enekmen yang baharu berkaitan dengan isu ini,” ujar beliau. – SM

BACA KDN tak berhak tarik rayuan kalimah Allah tanpa rujuk Majlis Raja-Raja

BACA Isu kalimah Allah: Saifuddin perlu beri pencerahan telliti

(Visited 95 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button