Politik

DAP tidak berhasrat haramkan judi – Pas

DAP didakwa tidak berhasrat untuk mengharamkan judi walaupun Ahli Dewan Negara yang mewakili DAP, Senator Liew Chin Tong telah menyuarakan bantahan mengenai peningkatan kekerapan cabutan khas judi ramalan nombor dari 8 kali kepada 22 kali setahun.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr. Mohd. Zuhdi Marsuki, bantahan DAP tersebut telah digambarkan oleh pihak-pihak tertentu seolah-olah DAP dan PH berhasrat mengharamkan judi.

“Hakikat sebenarnya DAP dan PH tiada hasrat pun mahu mengharamkan judi daripada bumi Malaysia.

“Hakikat ini terbukti apabila DAP sebelum ini sememangnya berpendirian tidak mahu judi diharamkan di Malaysia cuma mereka menuntut kekerapan cabutan khas itu dikurangkan manakala cabutan biasa judi ramalan nombor yang dibuat selain daripada hari Selasa setiap minggu tetap diteruskan,” kata Dr. Mohd. Marsuki.

Minggu lalu Chin Tong menyarankan kepada Kerajaan Perikatan Nasional untuk mengikuti langkah kerajaan Pakatan Harapan dahulu dalam mengurangkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4-digit.

Chin Tong berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah meningkat kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4-digit daripada 8 kali pada tahun ini kepada 22 kali tahun ini.

Menurutnya majoriti yang terlibat dalam aktiviti perjudian tersebut merupakan golongan B40 dan kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4-digit akan mengakibatkan masalah sosial lain.

“Cara DAP membantah peningkatan kekerapan cabutan khas di Dewan Negara kemudian disambut oleh tentera siber PH yang cuba mengelirukan masyarakat awam, seolah-olah kekerapan cabutan judi ramalan nombor ini hanya 8 atau 22 setahun.

“Sedangkan sebenarnya kekerapan cabutan judi ramalan nombor selain daripada cabutan khas, ialah tiga kali seminggu iaitu sekitar 162 kali setahun. Persoalannya mengapa DAP dan PH membisu mengenai kekerapan 162 tersebut?” kata Dr. Mohd. Zuhdi.

Menurutnya, Pas dari dahulu bertegas untuk mengharamkan sepenuhnya judi dari Malaysia temasuklah judi ramalan nombor, iaitu 162 cabutan biasa dan 8 atau 22 cabutan khas.

Malah di dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) yang dikemukakan oleh PAS sebelum PRU ke-14 yang lalu pengharaman sepenuhnya industri judi disasarkan menjelang 2025 iaitu di dalam Fasa Pertama WINS antara 2018 sehingga 2030.

“Sehubungan dengan itu, pasukan penggubal WINS di bawah PAS berhasrat untuk mengemukakan cadangan penuh atau proposal WINS membersihkan kegiatan judi di negara ini kepada Kerajaan Malaysia.

“Sebelum dikemukakan kepada pihak kerajaan, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada semua pihak sama ada NGO-NGO dan parti-parti politik untuk diperkukuhkan dan ditambah baik,” katanya.-SM

(Visited 465 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button