Nasional

Rakyat Malaysia dari Wuhan selamat tiba di KLIA

PESAWAT khas yang membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China yang dilanda wabak novel koronavirus 2019  (2019-nCoV), selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi ini.

Pesawat AirAsia yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia itu, tiba pada 5.57 pagi.

Setakat ini, tiada butiran mengenai bilangan rakyat Malaysia serta pasangan dan anak yang menaiki pesawat itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

Pada Isnin, dilaporkan misi itu dijadualkan membawa pulang 141 individu terdiri daripada 116 rakyat Malaysia dan 25 pasangan dan anak mereka yang bukan warganegara Malaysia dari Wuhan, lokasi yang dikenal pasti sebagai punca penularan virus tersebut.

Pesawat khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 3.50 petang Isnin bersama 12 kru dan lapan petugas misi HADR.

Pesawat itu turut membawa 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China untuk membantu menangani penularan koronavirus di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata semua penumpang, pasukan misi dan kru akan menjalani tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) di KLIA sebaik sahaja tiba di tanah air.

Mereka yang mempunyai simptom akan dibawa ke hospital manakala yang melepasi saringan terus ke Pusat Pemantauan. – BERNAMA

(Visited 117 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button