Berita

Yayasan Akalbudi pinjamkan RM10 juta kepada syarikat tempatan selepas diperkenalkan Datuk K

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR 11 Dis.  – Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminjamkam dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM10 juta kepada sebuah syarikat pengimport dan pembekal arang batu selepas diperkenalkan oleh suami kepada penyanyi tersohor negara, pada 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd, Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr, 50, berkata pihaknya memerlukan modal berbayar RM10 juta itu sebagai memenuhi syarat minimum berdaftar untuk pembekal arang batu Indonesia bagi kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.

“Bagaimanapun syarikat saya tidak mempunyai modal sebanyak itu di dalam akaun. Disebabkan pihak kami ingin mendapatkan apa-apa projek dan mesti berdaftar dengan TNB Fuel, saya telah menghubungi kawan-kawan saya termasuk Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sekiranya mereka boleh meminjamkannya modal berjumlah RM10 juta ini.

“Pada asalnya saya meminta pertolongan Khalid untuk mengatur pertemuan dengan Ahmad Zahid dengan harapan dapat mengurangkan jumlah modal daripada RM10,000,000 kepada RM5,000,000 sahaja. Khalid telah bersetuju untuk memberi bantuan kepada saya dan beliau telah mengajak saya berjumpa dengan Ahmad Zahid,” kata saksi pendakwaan ke-21 itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin.

Wasi berkata demikian semasa membacakan penyataan saksi pada hari ke-11 perbicaraan kes Ahmad Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Katanya, dalam pengetahuan beliau Khalid adalah kenalan rapat kepada Ahmad Zahid.

Saksi itu juga berkata, beliau bersama Khalid telah pergi ke pejabat Ahmad Zahid di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya untuk berjumpa dengannya.

“Perjumpaan ini berlangsung selama kira-kira 20 minit dengan hasrat untuk memberitahu Ahmad Zahid jika beliau boleh memberikan pendapat tentang pengurangan modal berbayar syarikat dalam projek ini daripada RM10 juta ke jumlah kadar yang lebih rendah.

“Namun, Ahmad Zahid mengatakan beliau tidak boleh campur tangan dalam urusan dan polisi TNB yang telah ditetapkan. Akan tetapi beliau mencadangkan untuk mengaturkan dari segi kewangan untuk tempoh yang singkat,” katanya.

Beliau berkata sebulan selepas pertemuan itu, beliau telah dijemput secara lisan oleh Ahmad Zahid sendiri di Taman Tasik Titiwangsa untuk menyuruh beliau hadir ke Parlimen, di sini keesokan harinya.

Wasi berkata ketika perjumpaan di Parlimen dengan Ahmad Zahid, bekas timbalan perdana menteri itu telah mengarahkan pegawai Affin Bank untuk menyerahkan cek berjumlah RM10 juta dan memberi tempoh sebulan untuk beliau membayar semula pinjaman itu.

“Saya telah meneliti butir-butir maklumat cek tersebut dan mendapati cek bertarikh 16 Nov 2015 bernilai RM10,000,000 itu dikeluarkan kepada Armada Holdings. Di dalam cek tersebut juga telah tercatat Yayasan Akalbudi bermaksud cek ini adalah cek yang dikeluarkan oleh Yayasan Akalbudi.

“Sebelum ini Ahmad Zahid tidak ada memaklumkan kepada pihak saya bahawa wang pinjaman yang diberikan kepada pihak saya adalah daripada Yayasan Akalbudi,” katanya.

Tambahnya, selang sebulan selepas tarikh pinjaman itu, beliau telah membayar balik pinjaman tersebut kepada pihak Yayasan Akalbudi beserta dengan faedah berjumlah RM69,722.65 menggunakan dua cek CIMB Bank syarikatnya.

“Tujuan cek kedua ini dikeluarkan oleh syarikat saya adalah sebagai bayaran faedah empat peratus pinjaman RM10,000,000 kepada Yayasan Akalbudi sebagai modal berbayar syarikat bagi mendapatkan projek pembekalan arang batu Indonesia untuk kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd sebelum ini.

“Bagaimanapun pihak Armada Holdings tidak berjaya mendapatkan apa-apa projek dengan TNB Fuel,” katanya.

Kepada soalan tambahan oleh Nur Aishah Maulat, saksi itu memberitahu Khalid tidak mempunyai sebarang peranan dalam syarikatnya dan hanya sebagai seorang sahabat.

Nur Aishah Maulat : Benarkah Khalid adalah kenalan akrab dengan Ahmad Zahid?

Wasi: Ya.

Nur Aishah Maulat : Bagaimana anda tahu tentang perkara ini?

Wasi: Umum mengetahui Ahmad Zahid dan Khalid adalah sahabat lama.

Terdahulu, bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata bahawa beliau melihat ketuanya itu menandatangani sekeping cek atas nama Yayasan Akalbudi bernilai RM100,000 untuk diserahkan kepada syarikat TS Consultancy & Resources.

Wan Ahmad, berkata Ahmad Zahid menandatangani cek itu selepas beliau (Wan Ahmad) memaklumkan bahawa TS Consultancy & Resources sedang mengalami masalah kewangan kerana peruntukan bajet untuk pengurusan syarikat itu tidak diterima daripada ibu pejabat UMNO seperti sepatutnya.

Katanya, selepas mendengar aduan beliau, Ahmad Zahid telah memanggil pegawai khasnya, Mejar Mazlina Mazlan dan mengarahkan Mazlina untuk menyediakan sekeping cek bernilai RM100,000.

“Saya melihat sendiri Ahmad Zahid telah menurunkan tandatangan beliau pada cek itu di hadapan saya.

“Selepas menerima cek bernilai RM100,000 daripada Ahmad Zahid, saya telah menyerahkan cek tersebut kepada pegawai saya iaitu Sabri Said,” kata saksi pendakwaan ke-18 itu pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

— BERNAMA

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button