Nasional

Covid-19: Sekolah boleh dibuka jika langkah ini diambil

SEKOLAH sebenarnya boleh dibuka semasa penularan wabak Covid-19 jika langkah yang sepatutnya diambil.

Langkah yang paling mudah ialah orang dewasa perlu memastikan mereka tidak dijangkiti virus berkenaan.

Anak-anak biasanya tidak terlalu banyak bergerak, tetapi orang dewasalah yang bergerak ke pelbagai premis dan menghadiri pelbagai program serta majlis.

Jadi jika orang dewasa memastikan mereka tidak dijangkiti wabak itu, secara langsung sekolah dan pusat penjagaan kanak-kanak boleh dibuka.

Kekhuatiran kini ialah anak-anak tidak mendapat pendidikan yang baik apabila tadika, sekolah dan pusat pengajian tinggi tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Jadi tidak hairan apabila Canselor Jerman Angela Merkel mengumumkan sekatan mutakhir atau lockdown beliau hanya senaraikan bar, restoran, teater, dewan konsert, gimnasium dan pusat tatu sebagai institusi yang terpaksa ditutup. Tetapi sekolah dibuka seperti biasa, termasuk pusat jagaan kanak-kanak.

Langkah itu berbeza ketika perintah berkurung sebelum ini turut menutup sekolah serta pusat penjagaan kanak-kanak.

Di Perancis, Presiden Emmanuel Macron juga mengatakan bahawa sekolah akan dikecualikan daripada perintah larangan berkuat kuasa hari ini.

Ireland juga membenarkan sekolah tetap dibuka walaupun pelaksanaan perintah berkurung sejak  awal bulan ini.

Keputusan ini sebenarnya tidak disenangi oleh sesetengah pihak, tetapi kerajaan berkenaan memutuskan untuk memutuskan rantaian dan risiko jangkitan di luar dan bukan di sekolah.

Di sekolah pula cuma perlu ditambah prosedur yang perlu dipatuhi terutama memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Mengapa sekolah dibuka?
Micheal Martin, perdana menteri Ireland, mengatakan bahawa walaupun negaranya tidak lagi dapat menghindari sekatan, walaupun terdapat kesan buruk terhadap ekonomi, sangat penting sekolah tetap terbuka.

“Kita tidak boleh dan tidak akan membiarkan masa depan anak-anak dan anak muda kita menjadi mangsa penyakit ini,” kata Martin dalam ucapan nya.

Di seluruh dunia, ada kekhuatiran yang semakin meningkat bahawa wabak ini akan membahayakan perkembangan akademik dan emosi seluruh generasi kanak-kanak.

Awal bulan ini, persidangan menteri kebudayaan Jerman, yang bertanggungjawab untuk menyelaraskan dasar pendidikan, menekankan hak anak-anak untuk mendapat pendidikan, yang menurut mereka paling baik dilayan di kalangan rakan sebaya, di bilik darjah.

“Ini harus menjadi keutamaan tertinggi dalam dasar dan baharu yang dibentuk,” kata menteri itu.

Dalam membuat pengumumannya, Merkel menyebut alasan lain bahawa menjaga akses ke sekolah adalah penting, menunjukkan “akibat sosial dramatik”  bila sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak ditutup semasa perintah berkurung pada bulan Mac dan April.

“Serangan ganas terhadap wanita dan anak-anak juga meningkat secara mendadak,” kata Merkel.

Sebagai ganti beliau menutup dan menghentikan acara sukan, acara budaya dan restoran.

Setiap hari sekolah diberi peruntukkan khas untuk mengedarkan pelitup muka baharu kepada anak murid dan pelajar, begitu juga dengan aktiviti sanitasi di sekolah-sekolah dipertingkat.

Apakah kerajaan Malaysia cukup berani untuk melaksanakannya dan adakah kita sebagai orang dewasa sanggup berkorban untuk masa depan anak-anak kita?

Semuanya terletak di tangan kita. Tepuk dada, tanya selera.

 

(Visited 117 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button