Nasional

COVID-19: Notis duduk di rumah 14 hari, cuti sekolah dilanjutkan di Sarawak

KUCHING, 16 Mac — Semua pelawat luar negara dan domestik yang datang ke Sarawak serta rakyat Sarawak yang pulang ke negeri itu akan dikenakan notis duduk di rumah (SHN) selama 14 hari, berkuat kuasa Rabu ini.

Ia adalah antara langkah kawalan yang diambil kerajaan negeri bagi membendung penularan wabak COVID-19 selepas negeri itu merekodkan 34 kes positif dalam tempoh tiga hari sejak Jumaat dengan 29 merupakan kes yang diimport.

Ketika mengumumkan langkah tersebut pada sidang media hari ini, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata arahan SHN juga melibatkan penduduk Sarawak, pemegang pas jangka panjang dan jangka pendek.

”Arahan ini berkuat kuasa 18 Mac 2020. Agensi berkaitan akan memantau pemegang SHN menerusi lawatan rawak, panggilan telefon dan aplikasi tekonologi moden,” katanya di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Bagaimanapun, katanya, pengecualian akan diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri kepada mereka yang perlu melakukan perjalanan bagi tujuan rasmi dan urusan perniagaan.

Beliau berkata semua majlis rasmi kerajaan negeri dan perhimpunan awam membabitkan lebih daripada 50 orang perlu dibatalkan atau ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.

Selain itu, katanya, semua tabika, taska dan sekolah tahfiz di Sarawak diarahkan tutup selama dua minggu berkuat kuasa esok manakala semua sekolah diarahkan untuk melanjutkan cuti persekolahan penggal pertama bagi tempoh satu minggu lagi sehingga 29 Mac ini.

“Institusi pengajian tinggi awam dan swasta juga diminta menangguhkan sesi akademik baharu mereka dalam masa dua minggu, berkuat kuasa esok,”  katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari juga berkata semua kemudahan sukan awam termasuk kolam renang, stadium, gimnasium ditutup bermula esok sehingga diberitahu kelak.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan kebersihan diri yang paling tinggi serta mengamalkan pengasingan sosial secara ketat,”  katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan berita palsu atau tidak disahkan berhubung penularan wabak COVID-19 di media sosial.

Katanya, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan teragak-agak  mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bertanggungjawab berbuat demikian.

”Kesemua suspek yang didakwa menyebarkan berita palsu akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998,” katanya.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-dua sekali dan juga akan dikenakan denda tambahan sebanyak RM1,000 untuk setiap hari di mana kesalahan diteruskan selepas disabitkan.

— BERNAMA

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button